BERSATU BERI JAMINAN KEMENANGAN DALAM NOMBOR

Sejak mengecapi kemerdekaan daripada penjajah, mungkin inilah kali pertama rakyat Malaysia memiliki peluang terbaik memilih kerajaan selain Umno/BN.

Arah aliran pengundi dalam dua pilihan raya umum yang lalu jelas membayangkan sentimen semasa, dan terkini beban pelbagai skandal berskala raksasa yang sedang menekan kerajaan mengukuhkan lagi kemungkinan ini.

Selama ini golongan minoriti cenderung memilih parti politik yang memperjuangkan hak dan keperluan mereka. Namun, mereka ini tidak begitu berharap untuk memenangi mandat menguasai kerajaan persekutuan, sungguh pun mereka berjaya membuktikan keupayaaan mentadbir urus kerajaan negeri.

Kejayaan Pakatan Harapan dan DAP memerintah, misalnya di Pulau Pinang, gagal dijadikan sumber ilham oleh Umno. Sebaliknya tohmahan dan penindasan digunakan, termasuk mendakwa salah laku rasuah dengan bersandarkan kelemahan-kelemahan teknikal seperti yang dikenakan ke atas Lim Guan Eng.

Pada masa sama, sehingga kini pengurusan tertinggi 1MDB yang melenyapkan berbilion ringgit dilepas bebas.

Jelas bahawa sementara penyiasatan kes 1MDB tergantung tanpa tali di negara ini, permohonan Mutual Legal Assistance oleh Jabatan Peguam Negara Swizerland ditolak dengan alasan bagi mengelakkan subjudis.

Saya ulangi, alasannya ialah untuk “mengelak berlakunya subjudice kerana siasatan yang sedang dilakukan di Malaysia!”

Apabila ahli parlimen pembangkang – malah apabila bekas menteri kewangan kedua yang ketika itu masih berada dalam Umno – menyoal tentang salah tadbir 1MDB, speaker Dewan Rakyat juga telah menggunakan alasan yang sama – subjudice – bagi mengelakkan perbahasan.

Jadi, pada masa depan, untuk menghalang sesuatu isu didebatkan di parlimen, kita hanya perlu memulakan satu tidakan undang-undang di negara luar. Mudah, kan?

Terjemahan lari dari konteks

Bunyainya lucu, tetapi inilah hakikat demokrasi ala Umno/BN pada 2016. Tepat sekali bahawa 2016 tercatat sejarah pencabulan dan kemusnahan menyeluruh institusi demokrasi negara ini.

Penyelamat Umno sememangnya Melayu luar bandar. Mereka tidak pernah ditawarkan dengan pilihan parti arus perdana lain. Berdekad lamanya mereka disogokkan dengan pemahaman bahawa hanya Umno yang mampu memperjuangkan hak dan kepentingan mereka. Ia bukan sahaja kepentingan ekonomi, malah sosial dan agama.

Mereka memalu gendang perang kononnya kehancuran Umno adalah kehancuran Melayu; terkuburnya Umno bermakna terkuburnya Islam!

Apabila keadaan semakin terdesak, lagu perang bertemakan Islam, perpaduan bangsa dan kedaulatan digunakan (atau lebih sesuai lagi, disalahgunakan) tanpa batasan, dengan persembahan multimedia yang dengan dilatarbelakangkangi oleh muzik, ayat-ayat suci al-Quran dan hadis.

Ledakan penggunaan perkataan dan istilah Arab di kalangan pemimpin Umno ketika berucap pada perhimpunan agung parti itu yang lepas jelas membuktikan keterdesakan tersebut. Tetapi banyak rujukan pada ayat suci al-Quran dan hadis yang berasaskan konteks yang beribu-ribu batu – jika bukan berbilion (Umno lebih berminat dengan bilion) batu jauhnya dari konteks sebenar.

Dengan itu adalah kritikal bagi pakatan parti pembangkang melenyapkan metos bahawa hanya Umno yang boleh mewakili Melayu. Jelas Kelantan, Pulau Pinang dan Selangor yang tidak diperintah oleh Umno/BN sejak sekurang-kurangnya dua penggal parlimen tidak menyebabkan Melayu terhapus di negeri itu.

PKR pula dituduh bersifat terlalu liberal, terlalu sekular. Ini adalah tuduhan melulu. Juga itu, PAS disalah anggap sebagai memperjuangkan Islam konservatif dan dikatakan sebagai tidak mewakili golongan arus perdana Melayu Muslim. Ini juga terpesong daripada kebenaran.

Sebaliknya kini kita turut mempunyai Parti Amanah Negara (AMANAH), yang mempamerkan kecendungan Islam progresif.

Tambah mewarnai suasana, buat pertama kalinya satu parti politik berasaskan Melayu yang ketuai Tun Dr Mahathir Mohamed (bekas perdana menteri dan presiden Umno selama 22 tahun) dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menawarkan alternatif untuk orang Melayu.

Hal ini menidakkan dongeng bahawa hanya Umno yang ada untuk mereka.

Kambing diburu sekawan serigala

Tetapi, adalah silap jika kita membuat kesimpulan bahawa kerjasama/gabungan BERSATU, PKR, DAP, AMANAH dan PAS mudah menyingkirkan Umno/BN bersama-sama seluruh kuasa jentera pemerintahannya.

Lihat sahaja keputusan pilihan raya Sarawak dan dua pilihan raya kecil di Perak dan Selangor. Nyata bahawa Umno mempunyai pengaruh yang amat dalam, jalinan infrastruktur amat luas, dan dilengkapkan kemudahan dan kuasa pemerintah yang mampu membinasakan lawan, walaupun kosnya tinggi. Ini yang disebut sebagai the power of incumbency.

Apabila setiap parti pembangkang meletakkan calon dan membekalkannya dengan manifesto parti masing-masing, peluang Umno menewaskan calon pembangkang sama seperti sekawan serigala memburu segerombolan kambing yang terpisah-pisah.

Untuk memenangi mandat nasional, kita perlu berjuang bersama-sama. Dan, “safety in numbers” menjadi nyata jika kita bersatu. Kita perlu bersatu dengan membawa harapan dan cara baru. Kita perlu menzahirkan Barisan Rakyat (The Peoples’ Front).

Pakatan parti pembangkang mesti bersatu dengan matlamat yang berfokus kepada mengambil alih kuasa daripada kerajaan hari ini.

Nyata bahawa peluang keemasan dibuktikan oleh pelbagai petunjuk bahawa rakyat bersama-sama kita, dan rakyat sedia menyokong untuk melakukan dan reformasi yang diperlukan dalam badan perundangan dan institusi tadbir urus negara.

Benar, ini adalah satu-satunya peluang keemasan; tetapi, adakah gabungan pembangkang memiliki apa yang diperlukan untuk berfungsi sebagai pilihan yang berwibawa?

Buat kali pertamanya, saya terfikir, kita memiliki sifat dan keupayaan tersebut.

Dengan kata lain, kita perlukan satu identiti, satu jenama, satu logo, dan paling penting: SATU calon.

Satu-lawan-satu menentang calon BN merupakan satu-satunya kaedah untuk mendapatkan angka yang cukup bagi menyingkirkan mereka. Inilah masanya untuk mengetepikan politik antara parti dan memusatkan tumpuan pada matlamat bersama bagi menghadapi pilihan raya umum.

Gabungan pembangkang – Barisan Rakyat – mesti berjiwa besar merundingkan pengagihan kerusi dengan mengutamakan matlamat memenangi pilihan raya.

Adalah malang jika kemenangan diukur dengan bilangan kerusi maksimum yang berjaya ditandingi oleh parti, tetapi tewas secara kolektif.

Matlamat kemuncak mestilah untuk memenangi pilihan raya. Dengan itu, pengagihan kerusi hendaklah berasaskan kepada keupayaan-untuk-menang.

Ini sangat kritikal dan tidak boleh disabotaj oleh mana-mana parti rakan pada saat-saat akhir. Kita telah melihat kegagalan rancangan sedemikian yang dirayakan oleh BN di Sarawak.

Matlamat kemuncak mestilah untuk memenangi pilihan raya, membentuk kerajaan dan menyelamatkan negara. Tangguhkan dahulu kecenderungan untuk mengutamakan kepentingan parti masing-masing.

Pada waktu ini, tumpukan pada masa depan negara. Perkongsian kuasa boleh dibina menerusi pelbagai pendekatan dan cara. Ia tidak terbatas kepada kerusi parlimen dan dewan undangan negeri.

Rakyat di segenap penjuru dunia telah pun menyisihkan status quo bagi mendepani hari-hari mendatang yang belum diterokai, termasuk rakyat di UK dan AS.

It is time to drain the swamp.

Rakyat England membawa negara itu keluar dari Kesatuan Eropah, sementara rakyat AS keluar daripada pemikiran logik (common sense). Mereka bersuara dan negara bangsa mematuhi pilihan mereka.

Tetapi, jika Umno/BN kekal memerintah, maka berdekad lagilah langkah pemulihan kesan buruk gejala rasuah berskala besar, kehancuran kebebasan polititik, kecacatan institusi negara, keyakinan terhadap sistem perundangan, dan cemuhan rakan-rakan negara luar. Semakin lama dibiarkan, keadaan menjadi semakin buruk.

Seperti yang dicanangkan oleh Donald Trump dalam utusan pemilihan presiden AS: “Pemimpin anda telah menggagalkan anda. Apa kerugian lain lagi yang boleh berlaku jika anda mencuba sesuatu yang baru?”

Oleh itu, terdapat dua soalan penting yang perlu dikemukakan:

  • Untuk pakatan pembangkang – Adakah kita bersedia membina pilihan yang berwibawa?
  • Untuk rakyat umum, Adakah kita sedia untuk berubah?

Sekiranya jawapan untuk dua soalan itu tegas “ya” maka Malaysia mempunyai harapan untuk diselamatkan. Tugas yang berat, tetapi boleh dilakukan. Jika jawapannya ialah “tidak,” maka Malaysia kekal berada dalam kegelapan, dan bahaya!

Jadi, fikir-fikirkanlah dengan bijaksana.

DATUK DR RAIS HUSIN ialah ahli Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU merangkap ketua Biro Strategi dan Polisi parti berkenaan.

MKINI