BERSATU, AMANAH BERI HARAPAN CERAH PADA PEMBANGKANG DI PERAK, KATA BEKAS MB

BEKAS menteri besar Perak, Mohamad Nizar Jamaludin optimis gabungan kerjasama antara Bersatu dan Amanah dalam Pakatan Harapan (PH) akan memberikan manfaat besar kepada mereka pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Ia boleh mengukuhkan sokongan Melayu kepada PH yang sudah mempunyai sokongan kuat di kalangan pengundi Cina.

Menurut beliau, gabungan baik dan kerja kuat antara kedua-dua parti Melayu ini memberi PH peluang cerah untuk merampas semula negeri Perak berbanding PRU 2013 lalu.

“Gabungan di kalangan parti PH ini telah bekerjasama erat sejak 2008 (apabila Pakatan Rakyat menang dan membentuk kerajaan negeri),” kata Nizar dalam wawancara khas dengan The Malaysian Insight.

Nizar yang pernah menjadi menteri besar selama 11 bulan sebelum dijatuhkan akibat rampasan kuasa di Perak ditemubual selepas Konvensyen Amanah Perak di Ipoh baru-baru ini.

Beliau yang meninggalkan PAS bersama rakan-rakannya kini adalah timbalan pengerusi Amanah Perak dan satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Amanah di negeri itu.

Jurutera berusia 60 tahun dan terlatih di Britain itu juga mendedahkan rancangan PH untuk meningkatkan hasil negeri jika berjaya mentadbir semula Perak termasuk memanfaatkan hak tanah yang diambil oleh agensi pusat.

Beliau juga menceritakan bagaimana kerajaan 11 bulannya berjaya memberikan geran kepada tanah Orang Asli yang selama ini gagal dibuat oleh kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau juga menjelaskan kenapa beliau sentiasa bertukar kerusi sejak 2008, 2013 dan akan bertukar lagi pada PRU14 nanti.

“Jika saya kekal di situ, saya akan mati sebab saya menjadi sasaran,” kata Nizar.

Berikut adalah sebahagian wawancara itu:

TMI: Pakatan Rakyat (PR) menang dalam 2008 tetapi hilang negeri pada 2009. Pada pilihan raya 2013, harapan besar diberikan kepada PR untuk menang tetapi gagal. Apa akan berlaku dalam pilihan raya akan datang?

Nizar: Pada PRU 2008, apabila PAS bergabung dengan PKR dan DAP, kita tidak jangka akan menang. Jadi kita tidak bersedia dan Umno mengambil kesempatan daripadanya. Kami hanya bertahan sehingga 11 bulan saja kerana tidak bersedia. Banyak kelemahan ketika itu.

Pada PRU 2013, kita tidak dapat lebih daripada 30 kerusi yang diperlukan (menang hanya 28 daripada 56 kerusi), walaupun kami dapat 55% undi di Perak. Kami menang undi popular tetapi kalah dari segi bilangan kerusi kerana sistem pilihan raya kita.

Sekarang dengan adanya Bersatu dan selepas berlakunya tragedi dalam PAS dan lahirnya Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH.

Mohamad Nizar Jamaluddin berkata dengan adanya Bersatu dan Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.
Mohamad Nizar Jamaluddin berkata dengan adanya Bersatu dan Amanah, peluang untuk menang PRU14 lebih besar kerana kesepakatan dalam PH. – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 September, 2017.

Faktor besar adalah penyatuan kita yang tidak pernah berhenti, mesyuarat bersama pada setiap bulan dengan pengerusinya kita gilirkan setiap empat bulan. Sejak PRU13, sebanyak 65 kali kita sudah bermesyuarat.

Apabila kita wujudkan PH, tradisi mesyuarat sebulan sekali itu diteruskan. Jadi, bagi PRU14 kita lebih bersedia berbanding PRU 2008 yang menangkan kita.

TMI: Apakah isu utama di Perak?

Nizar: Isu utama adalah tanah di bawah kerajaan negeri yang diberikan di bawah MB Inc (MBI), anak syarikat kerajaan negeri. Ia sebabkan kerajaan negeri tidak mendapat apa-apa hasil khasnya premiun dan cukai. Saya sudah banyak kali ungkitkan hal ini dalam Dewan.

Projek pelancongan juga diserahkan kepada MBI dan mengawak banyak produk negeri tetapi tidak beri hasil kepada negeri.

Banyak industri juga ditutup di Perak. Di Kampar satu kilang ditutup dan 500 pekerja diberhentikan. Persoalannya kenapa?

Semasa 11 bulan kami memerintah, kita banyak menarik FDI masuk iaitu sebanyak RM3 bilion di samping pelaburan tempatan. Puncanya kami kurang birokrasi, kurang red tape dan memudahkan mereka masuk.

Kami yakin jika PH dapat kembali mentadbir Perak, kami boleh menarik lebih ramai pelabur kerana banyaknya ‘pull factor’ (faktor menarik) yang kami boleh berikan.

Perak banyak sumber. Kami ada sungai yang banyak dan besar bagi sumber air yang mencukupi termasuk boleh menjualnya kepada negeri jiran Selangor dan Pulau Pinang. Saya pernah berbincang hal ini dengan kedua-dua negeri.

Sungai juga boleh menjadi produk pelancongan yang baik dan boleh menarik ramai pelancong tetapi tidak diberikan perhatian.

Perak juga mempunyai banyak balak. Tetapi hasilnya tidak menjadi sumber utama. Begitu juga bijih timah. Ia masih banyak di Batu Gajah, Gopeng, Tapah dan Tanjung Tualang tetapi kerajaan tidak berminat untuk melombongnya kerana ia terletak di bawah bandar. Sedangkan dengan teknologi baru ia boleh dilakukan dengan selamat di samping mesra alam sekitar.

Kita juga boleh membantu 2.4 juta rakyat Perak dengan mengkaji semula premium tanah kerajaan negeri yang diambil alih oleh agensi di bawah kerajaan pusat. Misalnya, Felcra diberikan 30,000 hektar tanah sedangkan kerajaan negeri tidak mendapat sebarang hasil.

Begitu juga Felda. Jadi kita boleh mengkaji perjanjiannya untuk memberikan manfaat kepada semua rakyat. Lebuh raya juga banyak mengambil tanah kerajaan negeri dan pengguna dikenakan tol.

Saya rasa wajar perjanjian dikaji semula. Begitu juga TNB yang banyak menggunakan tanah kerajaan untuk memasang kabel dan stesen mereka. Petronas juga misalnya diberikan tanah untuk universiti yang sebelum ini diberikan kepada Universiti Sains Malaysia (USM).

Petronas membuat hasil melalui UTP. Kita boleh mengkaji semula perjanjian dengan mereka. Kami jangkakan RM200 juta setahun boleh dimasukkan ke dalam akaun negeri melalui semua ini dan kita boleh gunakannya untuk membantu rakyat Perak yang memerlukan.

TMI: Semasa menjadi menteri besar dahulu, mengapa semua sumber ini tidak dimanfaatkan?

Nizar: Pada masa itu kita baru hendak mengenalpasti semua sumber ini. Kita perlu melakukan perancangan, perbincangan, bajet dan sebagainya sebelum ia dilaksanakan. Jadi dengan 11 bulan itu, kita belum sempat buat.

TMI: Orang Asli masih ingat kerajaan PR dulu memberikan geran tanah kepada mereka dalam tempoh 11 bulan memerintah. Boleh ceritakan apa yang berlaku?

Di Pejabat Menteri Besar ketika itu, kami tubuhkan satu jabatan khas yang dinamakan Jabatan Hal Ehwal Orang Asli yang tidak ada sebelum itu. Seorang ahli exco diamanahkan untuk menjaganya.

Kami memberikan geran tanah kepada kerana itu hak mereka tetapi kami kawal saiz dan juga syaratnya. Mereka tidak boleh menjual tanah itu melainkan dengan kelulusan kerajaan negeri. Kita tidak kenakan sebarang premium kepada mereka.

Kami juga mengadakan satu konvensyen Orang Asli Perak untuk membolehkan mereka menyuarakan perasaan mereka.

Justeru, mereka rasa Perak adalah kampung halaman sendiri sedangkan selama ini mereka berpindah-randah. Polisi memberi tanah bukan hanya kepada Orang Asli sahaja tetapi juga kepada sekolah Cina dan sekolah agama rakyat.

Bekas menteri besar Perak berkata gabungan baik Amanah dan Bersatu dalam PH peluang cerah untuk merampas semula Perak berbanding PRU 2013 lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 September, 2017.
Bekas menteri besar Perak berkata gabungan baik Amanah dan Bersatu dalam PH peluang cerah untuk merampas semula Perak berbanding PRU 2013 lalu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 September, 2017.

Apabila saya memberi tanah kepada sekolah Cina swasta, saya dituduh sebagai barua DAP. Mereka tubuhkan syarikat di bawah Sekolah SUWA. Saya luluskan 1,000 hektar dan mereka tanam kelapa sawit dan mendapat hasil sehingga kini. Ini cara saya membantu mereka.

Saya juga memberi 1,000 hektar kepada sekolah agama rakyat. Ada 26 sekolah agama swasta di Perak. Mereka buat koperasi dan tanah itu ditanam dengan kelapa sawit dan hasilnya dibahagikan kepada sekolah-sekolah agama ini hingga sekarang.

Kami juga cuba memberi kepada sekolah Tamil tetapi tidak sempat. Lagipun semua sekolah Tamil mendapat bantuan kerajaan.

TMI: Kembali kepada 2008, anda kata mereka mendakwa kerajaan negeri dikawal oleh DAP atau barua DAP, sehingga kini nampaknya ia belum selesai. Apa komen anda?

Nizar: Umno memang menjadikan isu ini untuk memburukkan nama saya, kononnya saya barua DAP. Dari segi jumlah kerusi, PAS bertanding 22 tetapi menang lima sahaja. DAP bertanding 18 dan menang kesemuanya. Jadi kita tidak boleh berbuat apa, walaupun bertanding banyak tetapi menang lima sahaja. Kita tidak boleh menyekat persepsi itu. Mereka 18, saya lima saja.

Saya membawa isu ini ke dalam Dewan Undangan Negeri dan mencabar Umno adakah mereka dapat menunjukkan satu isu yang membuktikan saya tunduk kepada kehendak DAP.

Di bawah BN, sekurang-kurangnya banyak juga nama jalan yang diberikan nama bersempena nama pemimpin MCA. Boleh mereka namakan satu jalan yang saya namakan sempena nama pemimpin DAP. Mereka tidak dapat nak tunjukkan satu pun.

Jika saya habiskan masa membuang persepsi itu, saya tidak akan berjaya berbuat apa-apa yang lain. Saya tidak boleh membuangnya kerana apabila saya bertemu dengan media, itulah angkanya.
Saya hanya boleh melawannya dengan hujjah dengan harapan ia boleh mengurangkannya sedikit demi sedikit persepsi itu.

TMI: Adakah anda fikir isu nama Allah dan kuliah yang diberikan mufti Perak dan penceramah Kazim Alias antara punca kegagalan PR dalam PRU13?

Untuk mendakwa mufti dan Kazim membantu Umno, bagi saya ia hanya minima sahaja. Apa yang memenangkan Umno adalah semasa 11 bulan Nizar menjadi menteri besar, kerajaan Perak  sebenarnya kerajaan DAP. Ia isu yang dibawa ke kampung-kampung.

Walaupun Nizar ini Melayu tetapi kerajaannya adalah Cina. Penduduk kampung mahu kerajaan Melayu tanpa mengira ia korup atau tidak.

Perdana Menteri Najib Razak juga memainkan isu yang sama di peringkat pusat. Semasa PRU 2013, isu Melayu dan Cina tetap menjadi isu utama. Semasa itu tidak ada 1MDB atau GST.

Saya yakin jika Umno terus memainkan isu perkauman ini, orang Melayu tidak akan terpengaruh lagi kerana yang membuat mereka menderita adalah Melayu.

Polisi Najib yang menyusahkan mereka dan Najib adalah Melayu. Sekarang Umno bekerjasama dengan PAS memainkan isu ini.

TMI: Anda didapati selalu bertukar kerusi sejak 2008, kemudian 2013 dan dikatakan akan bertukar kerusi lagi kali ini. Kenapa?

Mereka menggunakan beberapa cara untuk membunuh karier politik saya. Saya mula menang di Pasir Panjang yang menjadi kerusi tradisional MIC.

Beberapa kawasan PAS membolehkan saya menang dengan 800 lebih undi. Menjelang PRU13, 800 pengundi PAS telah dipindahkan ke Sitiawan, kawasan sebelah Pasir Panjang.

Ngeh Koo Ham adalah Adun Setiawan. Beliau menang 11,000 majoriti termasuk 800 undi PAS tadi dalam PRU13. Jadi ia memberikan kemenangan Ngeh dengan lebih besar dalam usaha untuk membunuh karier politik saya.

Seramai 3,000 pengundi Kampung Gajah yang kuat Umno pula dipindahkan ke kawasan Pasir Panjang. Jadi, jika saya kekal di Pasir Panjang, tentu saya kalah.

Mereka gunakan taktik yang sama sekarang di Changkat Jering, tempat saya menang 2013 lalu. Mereka bina 500 buah rumah dan beri sewa murah kepada pengundi BN. Jika satu rumah ada lima pengundi, mereka sudah ada 2,500 pengundi.

Mereka juga keluarkan 9,000 pengundi Cina ke kerusi kuat DAP, Aulong. Sebelum ini DAP menang 7,000 majoriti di situ. Tujuannya untuk bunuh Nizar dengan berikan DAP kemenangan lebih besar.

Jadi, atas dasar itu saya perlu mencari kawasan yang lebih hijau dan tidak disangka. Kebetulan saya tinggal di Sungai Rapat yang mempunyai 35% Cina dan tidak senang dengan PAS dan Umno.

Saya yakin mereka sokong Amanah. 60% Melayu yang ada pula akan berpecah kepada tiga. Jadi saya mempunyai peluang untuk menang lebih besar di situ.

– ttps://www.themalaysianinsight.com

.