BERSATU AKAN SOKONG AKTA 355, KATA PAS

Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) telah pun bersetuju dengan rang undang-undang (RUU) persendirian yang diusulkan oleh Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Akta 355).

Timbalan Presiden PAS Tuan Ibrahim Tuan Man berkata pihaknya, telah mengadakan perbincangan dan ia dipersetujui oleh Presiden BERSATU, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengenai perkara itu.

“Sebenarnya, perkara ini yang kita bincang dan dia pun (Muhyiddin) dari prinsipnya bersetuju dengan RUU355, tidak ada masalah.

“Dalam perbincangan mesyuarat kami, sudah ada dan bicarakan dalam isu ini. Sebenarnya wakilnya seorang sahaja, Tan Sri Muhyiddin sahaja di Parlimen,” katanya kepada pemberita selepas majlis makan malam dan dialog politik, malam semalam di Setiawangsa.

Tuan Ibrahim berkata, Muhyiddin turut berkata bahawa pihaknya tidak mempunyai sebarang masalah berkaitan RUU355 di Parlimen.

“Dia sudah berikan komitmen bahawa apa-apa isu yang berbangkit di Parlimen, dia tidak ada masalah. Ini hanya menaik taraf mahkamah syariah, dan beliau tidak ada masalah untuk sokong,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya adakah PAS akan kenakan syarat kepada BERSATU agar menyokong RUU355 terlebih dahulu sebelum bersahabat dengan parti Islam itu.

Tuan Ibrahim bagaimanapun, enggan mendedahkan masa dan waktu mesyuarat tersebut dijalankan.

Usul RUU355 itu akan dibincangkan dalam sesi parlimen kali ini setelah mendapat laluan daripada kerajaan di Parlimen.

Usul yang dibawa Hadi itu bertujuan menambah hukuman maksimum Mahkamah Syariah kepada 30 tahun penjara, denda RM100,000 dan sebatan 100 kali.

Muhyiddin pula merupakan satu-satunya ahli Parlimen yang mewakili BERSATU.
Agihan kerusi

Tuan Ibrahim bagaimanapun, menyatakan sehingga ke saat ini, isu pembahagian kerusi dengan BERSATU masih belum dibincangkan malah disifatkan sebagai belum tiba masanya lagi.

“Rundingan kerusi belum lagi. Cumanya, jawatankuasa teknikal akan adakan perbincangan untuk tengok macam mana. Kita akan tengok, lagipun pilihan raya belum tahu bila lagi,” katanya.

– M’kini

.