BERSATU AKAN JELASKAN ISU AGM, KATA MUHYIDDIN

BERSATU akan mengadakan pertemuan dengan Pendaftar Pertubuhan (RoS) pada 30 November ini untuk menjelaskan mengapa parti itu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan (AGM) pertama mereka.

Presidennya Muhyiddin Yassin berkata Bersatu sedang menunggu untuk bertemu dengan Ketua Pengarah RoS, Suriyati Ibrahim untuk menjelaskan isu berkenaan.

“Kami akan jelaskan kepada RoS secara terperinci dan mendapatkan penjelasan dan nasihat apa yang perlu dibuat. Kita tahu perlembagaan parti menyebut kita perlu adakan AGM tetapi status parti masih belum lengkap.

“Ia akan mengambil masa untuk menubuh dan mendaftarkan cawangan dan bahagian. Hanya parti kebangsaan didaftaran secara rasmi,” katanya pada sidang media di pejabat Bersatu Pagoh di Johor hari ini.

Beliau turut menegaskan Bersatu tidak melakukan sebarang kesilapan, dan berkata beliau berharap RoS akan melayan Bersatu dengan munasabah dan adil, kerana ia sebuah organisasi yang mematuhi peraturan.

“Kami harap tidak akan berlaku kes menjadikan ia sukar kepada kami, bangkitkan isu agar kami nampak buruk, atau menyatakan sesuatu yang berbaur ancaman.

“Bersatu juga parti yang sah…tapi kami sedar kami merupakan ancaman kepada Umno dan Barisan Nasional. Dalam politik, kita tidak boleh elak. Tapi apa yang kita minta ialah pertimbangan yang adil.”

Pada minggu ini, Suriyati dilaporkan berkata Bersatu yang didaftarkan sebagai sebuah parti politik pada September tahun lalu, telah melanggar perlembagaannya sendiri dan Akta Pertubuhan kerana gagal mengadakan AGM selepas setahun penubuhannya.

Beliau dipetik sebagai berkata, Bersatu perlu menyelesaikan perkara itu secepat mungkin sekiranya ingin mengambil bahagian dalam pilihan raya umum akan datang.

Isu Bersatu dengan RoS bermula selepas lapan bahagian di Johor mengadu kepada RoS bahawa kepimpinan parti itu gagal mematuhi perlembagaan parti kerana gagal mengadakan AGM dengan bahagian dan cawangannya.

Muhyiddin, yang juga bekas timbalan presiden Umno berkata, perlembagaan Bersatu hamir sama dengan Umno, dengan AGM bermula di peringkat cawangan sebelum ke bahagian dan seterusnya kebangsaan. Bersatu masih belum mendaftarkan walau satu cawangan.

“Kamu bukan sengaja melanggar peraturan. Umno, ketika diharamkan pada 1988, juga mengambil masa dua tahun untuk adakan mesyuarat tahunan.”

Muhyiddin berkata Setiausaha Agung Bersatu Dr Shahruddin Md Salleh akan bertemu dengan RoS untuk menjelaskan situasi itu.

Beliau juga berharap RoS akan mempertimbangkan permohonan Bersatu untuk menggunakan nama “Armada” untuk sayap Pemudanya.

“Sayap itu didaftarkan sebagai Pemuda tetapi ketuanya, Syed Saddiq Abdul Rahman, mahu dipanggil “Armada”. Kami mula menggunakan nama baru sebelum mendaftar dengan RoS.

“Namun bila RoS kata kita tidak boleh guna nama itu, kami hentikan guna nama itu. Kami sedang memohon untuk penukaran nama, dan diharap RoS akan mempertimbangkannya.”

– M’kini

.