`BERSABARLAH MAHFUZ…’

SHAH ALAM – “Bersabarlah Mahfuz,” berikut kata-kata Penasihat Umum Amanah, Ahmad Awang kepada Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar ketika bertemu dalam satu program makan malam, semalam.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai parti Pas yang seolah-olah tidak mengakui Mahfuz berada di dalam parti mereka.

“Ketika kami (ahli Amanah) memilih untuk bergerak dengan bahtera baru, beliau membuat keputusan untuk terus kekal bersama Pas kerana yakin masih ada sinar perubahan di situ.

“Malangnya muktahir ini, beliau sampai tahap tidak diakui sebagai ahli pemimpin tertinggi parti beliau sendiri,” tulisnya di dalam laman Facebook.

Terdahulu, Mahfuz mengaku tidak dimaklumkan tentang Muktamar Tahunan Pas ke-64 yang dijadualkan berlangsung 28 April hingga 1 Mei ini.

Mahfuz masih beranggapan muktamar tahun ini akan berlangsung pada Jun ini.

Bekas Naib Presiden Pas itu bagaimanapun mengaku beliau masih lagi ahli Pas dan menegaskan hanya akan hadir muktamar pada Jun ini.

Sementara itu, Ahmad Awang turut menegaskan bahawa beliau menghormati keputusan  Mahfuz dan masih lagi dalam keadaan baik dengannya.

“Kami menghormati keputusan beliau dan ukhuwwah tidak akan terpisah kerana perbezaan parti ini,” katanya.

– M’kini