Bernama: Laporan ‘anugerah’ Rosmah berdasar kenyatan KSU

Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) hari ini menjelaskan bahawa berita mengenai pemilihan isteri Perdana Menteri Datin Seri Rosmah Mansor sebagai penerima Anugerah ‘Lead by Example’ telah ditulis berdasarkan kenyataan Naib Presiden Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO Malaysia Datuk Seri Alias Ahmad.

Ketua Pengarang Bernama Datuk Zakaria Abdul Wahab berkata Alias, yang juga Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan, dalam kenyataannya menyatakan anugerah itu adalah daripada UNESCO dan akan disampaikan pada 22 Sept ini.

Zakaria mengulas portal berita Malaysiakini yang melaporkan Bernama mendakwa anugerah itu adalah daripada UNESCO.

“Bernama hanya melaporkan kenyataan itu yang menyatakan bahawa anugerah berkenaan adalah daripada UNESCO,”katanya.

Penyampaian anugerah itu dijadual diadakan pada majlis ‘A Tribute to Heroes in the Global Campaign Against Violent Exremism’ di Metropolitan Museum of Arts, New York.

– Bernama

.