BERJASA tawar 8 calon pada PRU14

Parti Barisan Jemaah Islamiah SeMalaysia (BERJASA) menawarkan ‎lapan calon untuk menghadapi Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.

Pengerusinya, Datuk Seri Dr Mustapa Kamal Maulut berkata‎ kesemua lapan calon tersebut dikenalpasti untuk bertanding di lapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Menurut beliau lapan kawasan tersebut meliputi DUN Batang Kali, Kota Damansara, Semenyeh, Jeram, Pelabuhan Klang, Dengkil, Kuang dan Hulu‎ Bernam.

“Sebagai sebuah parti koperasi BERJASA bersedia memberi pilihan baru kepada rakyat di samping parti-parti lain sama ada di pihak kerajaan atau pembangkang.

“BERJASA dengan ini ingin memberi ‎keyakinan kepada rakyat bahawa di tangan mereka mempunyai kuasa memilih pemimpin terbaik sebagai wakil mereka,” katanya pada sidang media di Batu Caves hari ini.

Ditanya mengapa lapan DUN tersebut menjadi pilihan, Mustapa berkata pihaknya telah mengkaji dan mengenalpasti ‎peluang meraih kemenangan di kawasan itu.

“Kita memilih bertanding di kawasan yang kita boleh menang berdasar pemerhatian dan dikaji oleh ahli strategi kita.

“‎Dengan kemenangan itulah membolehkan BERJASA memberi sumbangan sebagai pembela rakyat,” jelasnya.

Sehubungan itu tambah beliau, BERJASA menyeru kepada parti-parti dalam kalangan Pakatan Harapan khususnya supaya memberi laluan.

“Ini susulan kenyataan beberapa pemimpin parti pembangkang ‎turut menyeru supaya rundingan supayan mewujudkan bertanding satu lawan satu untuk melawan Barisan Nasional pada PRU14.

“Kita juga bersedia untuk berunding dan bekerjasama dengan mana-mana pihak ke arah tujuan tersebut,” katanya.

Pada PRU13, BERJASA digunakan sebagai tiket oleh Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) untuk bertanding di tujuh Parlimen dan dua DUN.

Bagaimanapun penyertaan Isma pada pilihan raya lalu tewas di kesemua kerusi yang dipertaruhkan.  – M’kini

.