BERITA PALSU ANCAMAN BESAR PADA PRU14, KATA ZAMBRY

BERITA palsu akan menjadi ancaman besar dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) akan datang, kata Menteri Besar Perak Zambry Abdul Kadir.

Beliau berkata, penyebaran berita palsu secara berleluasa dalam media sosial ialah satu daripada ancaman besar kepada demokrasi negara dan kualiti politik.

Sebagai contoh katanya, berita palsu mengenai 40,000 pengundi warga Bangladesh semasa Pilihan Raya Umum ke-13 telah mencetuskan kekecohan.

“PRU14 akan diadakan tidak lama lagi. Anda boleh bayangkan jenis ancaman yang kita akan hadapi.

“Berita palsu boleh memberi kesan yang signifikan terhadap pilihan raya. Rakyat berasa keliru untuk membuat keputusan, tentang parti yang akan memerintah negara,” kata beliau pada Wacana Belia Antarabangsa Kuala Lumpur 2017 (KLIYD 2017)  di Kuala Lumpur hari ini.

Zambry, yang juga pengerusi Badan Perhubungan Umno Perak menyampaikan Ucaptama 2 Menteri bertemakan “From Intellectual Terrorism to Inequality: Confronting Non-Traditional Security Threats.”

KLIYD 2017 memberi fokus kepada ancaman masa depan termasuk perubahan iklim, keselamatan makanan, kelestarian tenaga,  ketidaksamaan, hubungan kaum dan keselamatan siber.

Mengenai usaha membendung penyalahgunaan dadah di negara ini, Zambry berkata usaha bersepadu dari semua pihak adalah penting untuk mengurangkan kes penagihan dadah di negara ini.

Beliau tanpa memberitahu angkat yang tepat berkata, jumlah kes penagihan dadah semakin meningkat  dengan mencatatkan  peningkatan sehingga 14 peratus tahun lepas.

“Penagihan dadah tidak boleh ditangani hanya melalui satu penyelesaian, Jika komuniti boleh bekerjasama, jumlah penagih dadah akan berkurang dengan ketara” kata beliau.

– Bernama

.