BERI RUANG PADA PEMIMPIN MUDA, KATA PENGANALISA

Pakatan Harapan (HARAPAN) mesti beralih daripada muka lama kepada pemimpinan muda yang lebih segar, kata penganalisa politik Wan Saiful Wan Jan.

Ketua eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas), itu percaya kini adalah masa pemimpin seperti Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali dan Datuk Seri Mukhriz Mahathir untuk bersinar.

“Saya fikir mereka (HARAPAN) perlu beralih daripada semua pemimpin dari kelompok yang lebih tua.

“Mereka perlu mencari jalan untuk menjadikan Azmin sebagai calon PM dengan Mukhriz sebagai timbalan perdana menteri,” kata Wan Saiful memberitahu Malaysiakini.
Wan Saiful berkata demikian ketika ditanya sama ada langkah HARAPAN menamakan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai pemimpin de facto, bertujuan untuk menjadikan lebih mudah bagi menerima idea agar Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi pengerusi gabungan itu.

HARAPAN kini tidak menamakan calon mereka sebagai Perdana Menteri dan desakan ramai pemimpin supaya gabungan itu menumpukan perhatian untuk memenangi pilihan raya gagal menghentikan cakap-cakap mengenainya.

– M’kini

.