BERHENTI BERKHIDMAT SEKIRANYA POLITIK BERTENTANGAN DENGAN TUGAS, KATA PEGAWAI KERAJAAN

PENJAWAT awam perlu meninggalkan perkhidmatan sekiranya politik mereka bertentangan dengan dasar kerajaan, kata ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) Zainal Rahim Seman.

Kenyataannya menyentuh kontroversi amaran Menteri Pendidikan Mahdzir Khalid kepada guru dan pegawai pendidikan minggu lalu bahawa mereka akan berdepan tindakan sekiranya menyokong pembangkang.

“Sekiranya politik kamu bertentangan dengan jawatan (sebagai penjawat awam), maka keluarlah,” katanya ketika ditanya mengenai komen Mahdzir pada program dialog TN50 di Petra Jaya, Sarawak hari ini.

Zainal Rahim berkata pekeliling sudah dikeluarkan pada 2009 dan 2010 mengenai peraturan, garis panduan dan etika penjawat awam yang mahu terlibat dalam politik.

Garis panduan itu menetapkan penjawat awam bagi gred 41 hingga 48 dibenarkan terbabit dalam politik namun perlu mendapatkan kebenaran daripada ketua jabatan dan ketua setiausaha kementerian mereka.

Mereka dalam jawatan pentadbiran bagaimanapun, tidak dibenarkan menyertai politik kerana mereka membawa banyak maklumat kerajaan yang boleh disalahgunakan secara politik, kata Zainal Rahim.

Tindakan boleh diambil ke atas mereka yang melanggar peraturan, tambahnya.

Mahdzir menafikan mengancam guru dan berkata kenyataannya disalahtafsirkan. Pihaknya menerusi Twitter berkata menteri berkenaan hanya memberi  “nasihat sebagai seorang ayah kepada anak” kepada guru.

Presiden Cuepacs Azih Muda yang turut berada bersama Zainal Rahim pada program yang sama di Kuching hari ini berkata, beliau tidak memberi kenyataan balas kepada Mahdzir sebelum ini kerana beliau percaya kenyataan menteri berkenaan disalah tafsir.

“Saya kenal dengan beliau. Saya yakin beliay tidak akan mengatakan sedemikian,” kata Azih.

“Tiada masalah (untuk penjawat awam terbabit dalam politik) tetapi perlu dapatkan kebenaran dahulu.”

Amaran Mahdzir dilaporkan oleh akhbar berbahasa Cina Kwong Wah pada Sabtu ketika ucapannya kepada pegawai pendidikan dan guru pada amanat tahun baru di Putrajaya.

Akhbar itu memetik menteri berkenaan sebagai berkata penjawta awam dilarang menyertai mana-mana parti pembangkang atau mengkritik kerajaan kerana ia sama seperti sabotaj dan merosakkan imej kerajaan.

Mahdzir juga dipetik sebagai berkata kerajaan tidak membenarkan mana-mana pegawainya untuk menyertai mana-mana parti pembangkang atau memegang apa-apa jawatan parti “tetapi tidak mengapa sekiranya mereka mahu menyertai kerajaan (parti BN)”.

– https://www.themalaysianinsight.com

.