BEREBUT KERUSI SELANGOR: MAT SABU MULA BERSUARA

SHAH ALAM – Presiden Amanah, Mohamad Sabu mengingatkan Pakatan Harapan (Harapan) agar sebarang perbincangan  di antara parti-parti dalam pakatan itu dibuat secara musyawarah dan tertutup.

Menurutnya, semua pihak hendaklah mengelak daripada mengeluarkan kenyataan secara terbuka sama ada kepada media mahupun di media-media sosial.

“Biarlah semuanya diselesaikan secara dalaman di meja rundingan dengan mencari jalan penyelesaian terbaik untuk Pakatan Harapan Negeri Selangor,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sinar Harian semalam melaporkan berlaku sedikit pergeseran antara Amanah dan PKR di Selangor.

Pengerusi Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sebelum itu menempelak Amanah kerana ‘berbohong’ dengan mengatakan jawatankuasa rundingan kerusi untuk negeri itu masih belum lagi dibentuk.

Mengulas lanjut Mohamad atau lebih mesra disapa Mat Sabu berkata, beliau yakin dan percaya, sikap sabar, saling hormat menghormati dan penuh kebijaksanaan akan memudahkan proses untuk Harapan mencapai kejayaan dalam mendepani musuh bersama mereka iaitu Barisan Nasional.

“Musuh sebenar kita adalah Umno/BN. Ayuh bersama tumbangkan mereka dalam PRU14 nanti,” katanya.

– Sinar Harian

.