BERDEPAN BANYAK RINTANGAN, DAP ENGGAN MENYERAH KALAH

SHAH ALAM – DAP tidak akan menyerah kalah dengan keadaan semasa politik di negara ini yang dilihat tidak menyebelahi parti itu.

Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang berkata, partinya tidak akan berbuat demikian walaupun menghadapi rintangan daripada pelbagai pihak yang mahukan DAP hilang daripada lanskap politik.

“Adakah pihak yang membuat perancangan lama selama lima tahun kebelakangan ini untuk melemahkan DAP, dengan kami perlu melakukan pemilihan semula Jawatankuasa Tertinggi Pusat, seperti yang diminta oleh Pendaftar Pertubuhan dan mereka berasakan tindakan mereka akan berjaya.

“Walau dengan apa perbuatan sekalipun, DAP tidak akan membenarkan dirinya hilang daripada politik Malaysia, dalam usaha untuk membentuk negara yang lebih berdemokrasi, maju dengan amalan pentadbiran yang baik,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dalam pada itu, beliau berkata, majoriti rakyat jelak dengan politik perkauman dimainkan oleh beberapa parti, dalam usaha untuk menguatkan pengaruhnya dalam kalangan penyokongnya.

Katanya, sekiranya politik perkauman terus dimainkan, tindakan itu dikhuatiri akan menyebabkan perpecahan kaum dan menyebabkan keamanan dan keharmonian negara terancam.

“Amat mengecewakan apabila terdapat beberapa ahli politik peringkat nasional masih lagi menggunakan cara politik lapuk, dengan memainkan isu perkauman dan agama sebagai bahan politik mereka.

“Malaysia sudah berusia 60 tahun dan masanya sudah tiba untuk semua parti politik perlu mengamalkan cara politik secara sederhana dan matang,” katanya.

– Sinar Harian

.