BERAPA LAMA NAK PERAP PENDAFTARAN PH, TANYA DR MAHATHIR

BERAPA lama lagi Pendaftar Pertubuhan (RoS) hendak perap pendaftaran Pakatan Harapan, tanya Dr Mahathir Mohamad hari ini.

“Kita masih belum dapat jawapan. Kita perlu mulakan kempen.

“Kita perlu ikut peraturan. Kita tak tahu apa masalahnya dengan permohonan kita,” kata pengerusi Pakatan Harapan itu selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Presiden PH di pejabat Bersatu di Petaling Jaya.

Menurut Dr Mahathir, RoS tidak memberikan apa-apa maklum balas sejak PH mengemukakan permohonan pendaftaran pada 24 Julai tahun lalu.

“Mereka tidak menjawab pertanyaan kami. Mereka juga tidak mengakui apabila kita menghantar peringatan (untuk bertanya mengenai permohonan),” kata Dr Mahathir.

Ketua pengarah RoS Surayati Ibrahim pada November sebelum ini dilaporkan berkata, pendaftaran belum selesai itu disebabkan beberapa isu dengan dua parti dalam pakatan pembangkang iaitu Bersatu dan DAP. Dua parti lagi adalah Amanah dan PKR.

Surayati berkata Bersatu masih belum mengadakan mesyuarat agung tahunan dan DAP belum menghantar laporan penuh pemilihan semula ahlli jawatankuasa pusatnya.

Ketika ditanya, Dr Mahathir enggan mendedahkan langkah yang akan diambil sekiranya pakatan itu gagal mendapatkan status sah sebelum pilihan raya umum ke-14 yang perlu diadakan menjelang Ogos.

Sementara itu, pengerusi Bersatu itu turut menolak ramalan pusat penyelidikan sosial media Politweet bahawa parti baharu hanya akan menang antara tiga dan enam kerusi pada pilihan raya umum akan datang.

“Lelaki ini perlu buka perundingan bagaimana nak ramal masa depan. Beliau tahu bagaimana nak ramal apa yang akan berlaku kepada rakyat berbanding kita,” kata Dr Mahathir.

Dalam ramalan untuk PRU14 yang dikeluarkan hari ini, Politweet meramalkan PH hanya akan menang antara 76 dan 127 kerusi daripada 165 kerusi yang ditandingi pada Semenanjung Malaysia.

Penganalisis media sosial itu turut meramalkan PH boleh memennagi sehingga 127 kerusi sekiranya mampu mendapatkan lebih 5% sokongan berbanding 2013.

– https://www.themalaysianinsight.com

.