BENARKAN PENDUDUK SABAH DAN SARAWAK MENGUNDI DI SEMENANJUNG, KATA BERSIH 2.0

PENDUDUK Sabah dan Sarawak yang tinggal atau bekerja di Semenanjung perlu mempunyai pilihan membuang undi di kawasan mereka tinggal, bukannya kembali ke negeri asal untuk mengundi.

Pengerusi Bersih 2.0 Maria Chin Abdullah menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Putrajaya meminda undang-undang bagi membolehkan mereka dari Malaysia Timur mengundi di Semenanjung.

“Pembaharuan ini diperlukan dengan segera,” kata Maria di pejabat Bersih di Petaling Jaya hari ini.

“Terdapat lebih daripada 150,000 pengundi Sabah dan Sarawak yang menetap di Semenanjung Malaysia.

“Dalam setiap pilihan raya, pengundi-pengundi tersebut perlu membelanjakan ratusan ringgit dan mengambil masa untuk pulang dan mengundi di kawasan asal mereka. Kesulitan ini mengakibatkan peratusan keluar mengundi yang lebih rendah.”

Maria berkata jika mereka dibenarkan mengundi di Semenanjung, maka SPR perlu mengadakan pengundian lebih awal untuk mereka seperti yang dilakukan kepada polis, anggota tentera dan pekerja kecemasan.

“Proses pengundian harus dilakukan sehari bagi penduduk Sabah dan Sarawak sebelum hari pengundian sebenar untuk semua rakyat Malaysia.

“Undian juga harus dikira pada hari yang sama supaya ia lebih telus.

“Ini boleh mengelakkan ahli parti daripada menjaga peti undi dan mengurangkan sebarang pengangkutan peti.”

Maria berkata adalah penting bagi SPR mempertimbangkan cadangan ini memandangkan jumlah pengundi di Sabah dan Sarawak pada PRU13 adalah paling rendah di negara ini.

Beliau berkata cadangan itu sudah dikemukakan kepada SPR pada Mei 2017 dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Paul Low pada Julai.

“Sehingga kini, tiada respons terhadap cadangan kami.”

Ahli Rise of Sarawak Efforts Tan Soh Keong berkata dalam pilihan raya lepas, ramai penduduk Sarawak tidak dapat pulang ke rumah untuk mengundi kerana faktor kewangan.

“Kami memulakan pertubuhan ini untuk menggalakkan penduduk Sarawak pulang untuk mengundi.

“Generasi muda mahu mengundi tetapi kebanyakan kekurangan dana untuk kembali ke Sarawak,” katanya.

Kumbang Samat yang bekerja di kementerian gereja di Kuala Lumpur berkata sejak beliau berpindah ke sini pada 1998, dia tidak pernah kembali ke Sarawak untuk mengundi.

“Salah satu sebab saya dan isteri tidak pulang untuk mengundi bersama tiga anak kami adalah kerana kos yang tinggi.

“Kami hanya kembali jika terdapat sambutan seperti Gawai.”

Adrian Lim, seorang penjawat awam di Selangor, berkata sukar untuk pulang ke Sabah sehari sebelum mengundi dan kembali keesokan harinya.

“Ia kerana kos penerbiangan dan saya perlu mengambil cuti untuk pulang.

“Jadi ini adalah faktor-faktornya dan saya berharap SPR akan menjadikan ia satu kenyataan untuk kami mengundi di sini.”

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.