BENARKAH PAS PARTI MAKAN KELILING?

Apa? Pas parti makan keliling?

Siapa yang membuat dakwaan tersebut?

Jika PPBM yang membuat dakwaan seperti itu, mungkin ada logiknya juga kerana parti itu sedang dalam proses rundingan dengan Pas dan tarikh pertengahan Januari adalah tempoh yang ditetapkan untuk memuktamadkan kata putus mengenainya.

Begitu juga jika UMNO yang membuat dakwaan yang sama, ia barangkali boleh lagi diterima kerana setelah Najib Razak dan Hadi Awang saling sedondon berbaju merah jambu, kemudian berpimpin tangan pula atas nama Rohingya, tetapi dalam masa yang sama Pas nampaknya masih tetap membuka pintu hatinya untuk dipikat oleh PPBM yang dipengerusikan oleh Tun Mahathir Mohamad.

Malah, jika PKR yang memberi tempat, kedudukan serta jawatan kepada Pas dalam kerajaan negeri Selangor melabelkan makan keliling itu, ia juga tidaklah sukar untuk difahami.

Namun, dakwaan Pas makan keliling itu dibuat oleh Ahli Parlimen Pas, Mahfuz Omar sendiri.

Menjawab kenyataan Pengarah Pusat Penyelidikan Pas, Dr Zuhdi Marzuki yang menyatakan parti itu terbuka untuk menubuhkan kerajaan campuran selepas PRU 14, sama ada dengan Pakatan Harapan atau BN, Mahfuz menyifatkan ia suatu kenyataan yang menggambarkan Pas adalah oportunis, tidak berprinsip serta tidak boleh dipercayai dan mahu makan keliling tujuannya.

Berat sangat tanggapan itu kerana sebagai parti yang berjuang atas nama Islam, makan keliling bukanlah sikap yang seharusnya dijadikan pendekatan. Pas mesti ada prinsip, pegangan dan pendirian.

Tidak mahukah Pas memberi amaran keras, menghantar surat tunjuk sebab atau memecat terus Ahli Parlimen Pas itu?

Atau Pas memang dalam hatinya betul-betul mahu makan keliling?

– http://shahbudindotcom.blogspot.my/

.