BENARKAH NAJIB TAK DAPAT DISINGKIRKAN ATAU BELIAU HANYA MAHU SEDAPKAN HATI SENDIRI?

Wahhh….begitu yakin nampaknya Najib Razak bahawa Tun Mahathir Mohamad tidak mampu menyingkirkannya.
Benarkah begitu?
Kata Tun Mahathir pula, Najib sebenarnya takut kalah, sebab itu kelulusan pendaftaran Pakatan Harapan sengaja dilengah-lengahkan.
Atau lontaran keyakinan Najib itu sekadar untuk menyedapkan hati sendiri, sedangkan apa yang dirasa hanya Tuhan saja yang tahu?
Kalau sudah begitu cakap besar, kenapa masih tak jumpa tarikh pilihanraya?
Tun Mahathir seorang diri mungkin tidak mampu menyingkirkan Najib, tetapi beliau bersama Pakatan Harapan serta dengan sokongan rakyat jelata yang cintakan kebenaran, gabungan semua itu tidak mustahil melakukannya.
Ketika ini, Tun Mahathir hanyalah alat kepada rakyat. Meskipun peranan dan pengaruh beliau penting dalam merangsang perubahan, sokongan rakyat kepada perubahan itulah yang jauh penting.
Di banyak negara dan berdasarkan deretan sejarah masa lalu, telah terbukti bahawa bagaimana kuat dan cakap besar sekalipun seorang pemimpin itu terhadap kuasa yang dipegangnya, ia akhirnya terbukti tidak mampu menahan kuasa rakyat.
Prinsip rakyat mudah saja. Selagi pemimpin itu ikhlas berjuang untuk rakyat, tidak rasuah, tidak makan duit, tidak salah guna kuasa, tidak mengkayakan diri sendiri, keluarga, anak-anak serta isteri, tidak menyusahkan dan tidak menjadi bebanan, selagi itulah sokongan dan kepercayaan akan diberikan.
Tetapi, sekiranya sebahagian atau semua elemen itu diingkari, tunggulah nasib dan detik kejatuhannya. Cepat atau lambat, ia pasti akan berlaku.
Sebelum Najib terus bercakap besar bahawa beliau akan terus kekal sebagai Perdana Menteri dan tidak mampu disingkirkan, renungkan sejenak dan fahami antara hakikat di bawah ini terlebih dahulu.
Adakah rakyat dapat terus menerima seorang Perdana Menteri yang secara terbuka mengakui, walau tidak sampai lima tahun berada di puncak kuasa, sudah ada wang sebanyak RM2,600 juta dalam akaun bank peribadinya?
Adakah di mana-mana celah di dunia ini, sama ada dahulu atau sekarang, ada rakyat dapat menerima isteri seorang Perdana Menteri yang suka bermewah, membazir dan dilimpahi jutaan barang kemas di tubuh badannya untuk terus berada di singgahsana kuasa bersama suaminya?
Adakah rakyat tiada keinginan untuk melihat Jho Low dapat dibawa balik ke dalam negara dan seterusnya diadili peranannya berkaitan 1MDB?
Adakah rakyat hanya berdiam diri saja dengan cengkaman GST, kenaikan harga minyak dan kos sara hidup yang setiap hari merobek poket kosong mereka dalam menjalani kehidupan seharian?
Adakah rakyat boleh redha selamanya dengan kehidupan mereka di mana pemerintah yang ada seolah-olah cakap kosong saja mengenai perkembangan ekonomi, walhal pengangguran masih tinggi, lepasan universiti tiada kerja, inflasi memuncak dan iklim perniagaan sentiasa suram?
Kecuali jika rakyat kekal ¬†bersikap “tak apa” atas kesemua perkara diatas, barangkali bolehlah Najib terus berkata beliau tidak mungkin disingkirkan daripada kedudukannya.

Adakah begitu pemikiran rakyat Malaysia sekarang ini, sedangkan Zimbabwe pun akhirnya akur kepada perubahan?

–¬†http://shahbudindotcom.blogspot.com

.