BELUM ADA RUNDINGAN RASMI DENGAN KOREA UTARA – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia masih belum memulakan rundingan rasmi dengan Korea Utara berhubung pembebasan sembilan rakyat negara ini yang terkandas di Pyongyang, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Apabila tiba masanya, kita akan berunding secara rasmi dengan Korea Utara,” katanya ketika ditanya mengenai status rundingan dengan Korea Utara di lobi Parlimen pada Khamis.

Beliau berkata, bagaimanapun rakyat Malaysia di Pyongyang tidak perlu bimbang mengenai keselamatan mereka.

“Kita mendapati rakyat kita di sana dalam keadaan selamat. Ia dijamin dan tiada apa yang perlu dibimbangkan,” katanya.
Sembilan rakyat Malaysia yang berada di Korea Utara tidak dibenarkan meninggalkan negara itu selepas Pyongyang mengeluarkan larangan perjalanan ke atas rakyat Malaysia di sana minggu lalu.

Sebagai tindak balas, Malaysia turut menyekat rakyat Korea Utara daripada meninggalkan negara ini.

– ANN

.