BEKAS SETIAUSAHA BERSATU CABAR MUKHRIZ DEBAT

SHAH ALAM – “Ayuh Mukhriz, debat dengan saya jika anda mempunyai kebolehan sendiri tanpa perlu bergantung kepada Tun Dr Mahathir Mohamad,” cabar bekas Setiausaha Kerja Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Kamarul Azman Habibur Rahman.

Beliau berkata, Datuk Seri Mukhriz Mahathir diajak duduk sepentas dengannya dan berdebat secara terbuka supaya rakyat Malaysia tahu adakahTimbalan Presiden Bersatu itu dan partinya memperjuangkan Malaysia yang lebih gemilang.

“Anda tidak perlu lari dan berselindung di belakang ayahanda tercinta yang sentiasa memberi talian hayat. Sahutlah cabaran untuk berdebat dengan saya pada hari Jumaat, 17 November ini jam 9 malam,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, dalam usaha melahirkan budaya politik yang lebih sihat, Mukhriz dipelawa meraikan perbezaan pendapat ,selagi ia berteraskan hujah dan kebenaran sebenar.

“Saya berpendapat, pemimpin boleh berdebat secara ilmiah walaupun berasal daripada parti atau pandangan politik berlainan. Anda (Mukhriz) ada 72 jam untuk menyahut cabaran ini,” katanya.

Kamarul berkata, diskusi pertama dilakukan pada 10 November lalu, di mana masyarakat dapat memahami apa yang berlaku di belakang tabir dan apa diperjuangkan.

April lalu, Kamarul Azman secara rasmi mengisytiharkan keluar dari Bersatu berkuat kuasa serta merta kerana mendakwa parti itu mengamalkan kronisme dan pilih kasih.

Beliau juga mendakwa Bersatu tiada hala tuju sebenar tetapi hanya memfokuskan untuk menjatuhkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

– Sinar Harian

.