BEKAS PROF KEMUKA DATA LENGKAP PRU13 DALAM SATU HARI

Seorang lelaki mendakwa telah mengumpulkan maklumat paling komprehensif pada pilihan raya umum ke-13, yang katanya telah dilakukan dalam masa satu hari.

Abdul Hamid Yeop Zainuddin, bekas profesor matematik dari Universiti Teknologi Malaysia (UTM) hadir bersama ‘Buku Sifir Keputusan PRU-13’ yang dihasilkan beliau sendiri.

Buku 168 halaman itu mengandungi jadual, senarai dan nombor yang memperincikan pelbagai maklumat dikategorikan dalam pelbagai cara, berhubung pilihan raya umum ke-13 pada Mei 2013.

Menggelar tugasan itu sebagai ‘mision impossible’, Hamid Yeop berkata beliau memiliki pengetahuan dan kemahiran sebagai seorang ahli matematik untuk menyusun dan melengkapkan maklumat itu dalam satu hari.

“Saya mengambil masa sehari untuk menyusun semua data ini.

“Itu adalah mustahil bagi kebanyakan orang, tetapi kerana saya ahli matematik… saya guna konsep matematik, jadi ia menjadi mudah.

“Orang ramai perlu fakta, dan saya hanya mengemukakannya untuk mereka,” katanya.

Maklumat yang ada di luar sana, katanya adalah keputusan secara langsung di televisyen, keputusan di akhbar, dan dari laman web Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau hanya menyusun maklumat ke dalam sebuah buku kecil dan mengemukakan satu sistem di “laman web dinamik” dengan mudah bagi menyemak data, katanya.

Di hujung jari

Buku kecil yang dicetak di atas kertas A4 itu termasuk maklumat mengenai undi dan pecahan undi dengan geografi, bangsa, parti, kerusi DUN dan kerusi Parlimen, undi rosak dan sebagainya.

Ia juga mempunyai maklumat mengenai peratusan keluar mengundi, petunjuk prestasi utama (KPI) parti, taburan peratus kerusi dan banyak lagi.

Selain itu termasuk senarai lengkap calon-calon dalam pilihan raya untuk kerusi DUN dan kerusi Parlimen, bersama-sama dengan bilangan undi, undi rosak dan majoriti yang menang.

Senarai calon-calon ini dibentangkan dalam pelbagai cara, seperti jumlah keluar mengundi, undi majoriti, dan sama ada ia adalah satu pertandingan pelbagai penjuru atau tidak.

Halaman web yang disertakan adalah laman web yang mudah, dengan fungsi yang membolehkan pengguna memilih maklumat yang ingin dilihat.

Laman web ini mengandungi sebahagian besar maklumat yang terdapat dalam buku kecil tersebut dan dibuka kepada orang ramai, kata Hamid Yeop.

Bekas profesor itu yang berusia dalam lingkunan 50-an, telah menganggur sejak tahun 2004, selepas beliau meninggalkan UTM.

Katanya, ramai yang mencari kepakaran beliau  bagi pekerjaan yang stabil dan oleh itu, kerja-kerjanya kebanyakannya mendapat tajaan daripada rakan-rakan.

Sediakan maklumat

Katanya, perkara paling penting bagi projek itu adalah bagi memiliki semua fakta dan maklumat untuk rakyat dan parti politik.

Maka rakyat boleh menganalisis keputusan dengan kesimpulan mereka sendiri, dan parti politik boleh merangka strategi yang lebih bermaklumat, katanya.

Sebagai contoh, beliau berkata, dengan maklumat mengenai pengundi, rakyat boleh melihat sama ada alamat berdaftar mereka adalah tepat dan sama ada terdapat apa-apa percanggahan yang mencurigakan.
Sementara itu, parti-parti politik boleh merangka strategi pilihan raya yang lebih baik berdasarkan trend pengundian dan corak yang muncul daripada maklumat itu, katanya.

“Saya seorang ahli akademik, saya neutral. Sesiapa yang ingin menggunakan maklumat ini dalam apa jua cara, terpulang kepada mereka.

“Kami memberikan fakta, kerana ada orang-orang yang berdusta dan menuduh orang lain berbohong. Tetapi dengan bersenjatakan fakta, kita akan tahu siapa yang bercakap benar dan siapa yang berbohong,” katanya.

– M’kini

.