BEKAS PENGERUSI SAACHS DIHARAM CEBURI INDUSTRI SEKURITI AS

Bekas tokoh perbankan Goldman Sachs, Tim Leissner, yang dikaitkan dengan skandal 1MDB, telah diharamkan daripada menceburi industri sekuriti dan saham Amerika Syarikat kerana gagal menyediakan dokumen untuk siasatan pengawal selia.

Pihak Berkuasa Pengawalseliaan Industri Kewangan (Finra) berkata, pengharaman ke atas Leissner dikeluarkan pada 11 September lalu kerana beliau tidak menjawab permohonan untuk mendapatkan dokumen dan maklumat lain, laporĀ Wall Street Journal (WSJ).

Badan industri AS sedang menyiasat tindakan Leissner meninggalkan Goldman Sachs pada awal 2016, khususnya mengenai surat rujukan yang didakwa ditulisnya sewaktu berkhidmat di firma itu.

“Tanpa mengakui atau menafikan sebarang penemuan berkenaan, Leissner bersetuju dengan larangan itu dan fakta penemuan tersebut,” tulis pengawal selia dalam fail Leissner, menurutĀ WSJ.

Leissner, yang dahulunya adalah pengerusi Goldman Sachs bagi Asia Tenggara, menjadi penasihat kepada 1MDB dan didakwa mengeluarkan surat tanpa kebenaran pada bulan Jun 2015 kepada sebuah institusi kewangan di Luxembourg yang menjamin usahawan kontroversial Jho Low, tokoh utama dalam skandal firma pelaburan Malaysia itu.

Goldman Sachs kemudian bertindak menggantung perkhidmatannya, tetapi beliau bertindak meninggalkan firma itu. Susulan itu, Pihak Berkuasa Monetari Singapura (MAS) mengeluarkan perintah larangan 10 tahun terhadapnya berurusan di negara itu berkuat kuasa 13 Mac 2017.

WSJ melaporkan bahawa jurucakap Finra dan Goldman Sachs, termasuk peguam Leissner enggan mengulas mengenai laporannya itu.

Sebelum ini adalah dilaporkan bahawa Leissner merupakan penggerak utama dalam usaha Goldman Sachs mengumpul AS$6.5 bilion menerusi terbitan tiga bon pada tahun 2012 dan 2013 untuk 1MDB. Perjanjian itu menyaksikan firma tersebut membuat komisen AS$593 juta.

Goldman Sachs mempertahankan yuran berkenaan sebagai mewakili risiko keadaan pasaran ketika itu.

– M’kini

.