BEKAS PEMIMPIN KANAN TAK TAHU PAS TERIMA DANA 1MDB

KUALA LUMPUR – Bekas pemimpin kanan Pas, Salahuddin Ayub menyatakan beliau tidak pernah dimaklumkan berhubung dakwaan penerimaan dana daripada 1MDB sepanjang menjadi pemimpin dalam parti Islam itu.

“Yang pasti saya tidak terima apa-apa, dan saya tidak tahu dan tidak dimaklum tentang perkara itu (Pas terima dana 1MDB),” katanya dalam sidang medianya di Ibu pejabat Amanah di sini, hari ini.

Salahuddin berkata demikian bagi mengulas kenyataan Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli yang  mengaitkan Pas dengan dana 1MDB yang disalurkan melalui seorang bekas pemimpin kanan parti Islam itu.

[ARTIKEL BERKAITAN: 1MDB Rafizi sahut cabaran Pas]

[ARTIKEL BERKAITAN: Sudah maafkan, tapi Rafizi kena bertaubat]

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, isu penerimaan dana itu juga tidak pernah dibincangkan menerusi mesyuarat parti sebelum  beliau menyertai Amanah pada 2015.

“‘Namun sekiranya Rafizi ada bukti kukuh saya harap beliau boleh dedahkan dalam masa terdekat,” katanya yang juga timbalan presiden Amanah.

Terdahulu, Rafizi mendakwa beliau mempunyai bukti mengenai individu yang menjadi perantara menerima dana dari akaun Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Rafizi mendedahkan perkara ini pada 6 April lalu sejurus Speaker Tan Sri Pandikar Amin Mulia menangguhkan perbahasan usul RUU 355 yang di bawa oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Rentetan daripada itu, pelbagai polemik timbul di mana pemimpin Pas mencabar Rafizi untuk mendedahkan nama mereka yang terlibat.

Rafizi menegaskan bahawa beliau akan menyerahkan bukti kepada Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) dalam minggu ini.

Dalam perkembangan terbaharu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menyifatkan tuduhan Rafizi sebagai pembohongan besar dan tidak berasas.

Sehubungan itu, Abdul Hadi yang juga merupakan Ahli Parlimen Marang meminta agar pemimpin PKR itu segera bertaubat.

“Apa yang didakwa Rafizi itu (Pas terima dana daripada 1MDB) merupakan satu tuduhan bohong 300 peratus,” katanya.

– M’kini