BEKAS PEGAWAI KHAS HISHAM NAFI TERIMA SUAPAN RM80,000

SHAH ALAM – Seorang bekas pegawai khas kepada menteri kabinet didakwa di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas tuduhan menerima suapan RM80,000 berhubung tender kerja pembersihan sekolah, dua tahun lalu.

Zailan Jauhari bagaimanapun , mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim Asmadi Hussin sebentar tadi.

Zailan, 47, didakwa menerima suapan wang tunai RM20,000 dan sekeping cek Bank Islam bernilai RM60,000 daripada seorang kontraktor.

Suapan itu didakwa sebagai upah melakukan transaksi yang mungkin akan berlaku iaitu telah membantu Syarikat KCM Maju Resources dan Syarikat Sri Kajang Jaya bagi mendapatkan tender kerja- kerja pembersihan sekolah Zon 2 dan Zon 4 dalam daerah Kuala Selangor daripada Kementerian Pendidikan.

Kesalahan itu didakwa dilakukannya di sebuah restoran di Jalan Bendahara 1/2, Taman Bendahara, Kuala Selangor antara jam 7.30 dan 8 malam pada 8 Januari 2014.

Pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 16(1)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda tidak kurang lima kali ganda dari nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Mohd Heikal Ismail mewakili pihak pendakwaan.

Zailan yang ditangkap jam 7.50 pagi tadi di rumahnya di Seksyen 13 dekat sini merupakan Pegawai Khas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

– http://www.sinarharian.com.my/

.