BEKAS PEGAWAI BANK BSI DAKWA TAK AMBIL SESEN PUN DARI JHO LOW

Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei menafikan menerima sebarang wang daripada jutawan kelahiran Pulau Pinang Low Taek Jho, tokoh utama dalam skandal 1MDB.

Yeo memberitahu mahkamah Singapore bahawa dirinya “tidak pernah menerima satu sen pun dari Jho Low”, lapor Business Times Singapura.

Beliau berkata demikian ketika perbicaraannya atas tuduhan membantu pengubahan dana yang dikaitkan dengan 1MDB dan cuba menutup jenayah itu.

Semasa perbicaraan, bekas penyelia Yeo di bank BSI, Kevin Sampillai memberi keterangan bahawa Yeo bekerja untuk Jho Low dan merujuknya sebagai “bos”.

Seorang lagi saksi, bekas pengurus, Samuel Goh Sze-Wei juga memberi keterangan bahawa Yeo mengarahkannya memusnahkan dokumen untuk menutup kegiatan pengubahan wang haram itu.

Walau bagaimanapun, Yeo memberitahu mahkamah hari ini bahawa dakwaan berkenaan adalah tidak benar.

“Tidak benar bahawa semua yang dilakukannya mesti mengikut arahan saya,” beliau dipetik sebagai berkata.

Semalam, Jabatan Hal Ehwal Komersial (CAD) Singapura dilaporkan berminat untuk menyoal jutawan kelahiran Pulau Pinang, Low Taek Jho, atau lebih dikenali sebagai Jho Low.

Jabatan Keadilan (DOJ) Amerika Syarikat menamakan Jho Low sebagai benefisiari dana yang diselewengkan daripada 1MDB.

DOJ percaya lebih AS$3.5 bilion dilesapkan daripada dana pelaburan Malaysia itu dan disalurkan melalui sistem kewangan Amerika.

1MDB menafikan bahawa wang berkenaan telah dilesapkan.

MKINI

.