BEKAS PEGAWAI BANK BSI BANK PEROLEHI RM74 JUTA DALAM 15 BULAN

Bekas pegawai bank BSI, Yeo Jiawei mengumpulkan kira-kira S$23.9 juta (RM74 juta) dalam tempoh 15 bulan melalui “keuntungan rahsia” selepas beliau meninggalkan bank itu pada bulan Jun 2014.

Ini didedahkan oleh pihak pendakwaan dalam perbicaraan Yeo di Singapura yang berdepan empat pertuduhan mengganggu saksi, menurut The Edge Markets.

Yeo, 34, berkata, nilai bersihnya adalah sekitar S$2 juta, yang sebahagian besarnya diperolehi menerusi gaji dan bonus, apabila beliau meninggalkan Bank BSI di Singapura.

Dalam dokumen bertajuk ‘kenyataan kekayaan’ yang dijumpai di dalam iPad Yeo yang dirampas oleh pihak berkuasa, beliau mempunyai senarai asetnya.

Ini termasuk tiga harta tanah di Singapura dan dua lagi di Australia, serta wang tunai dalam pelbagai mata wang di beberapa bank-bank seperti HSBC dan OCBC, dengan jumlah nilai aset-aset ini pada S$25,988,735.

Timbalan Pendakwa Raya Singapura, Tan Kiat Pheng berkata adalah “agak sukar untuk dipercayai” bahawa Yeo mampu mengumpul begitu banyak wang dalam tempoh masa yang singkat dengan bertindak semata-mata sebagai ‘introducer’, perantara, perunding bebas atau pengurus hubungan.

Ini adalah istilah yang digunakan oleh Yeo untuk menggambarkan dirinya.

MKINI

.