BEKAS MENTERI TEGUR CARA SPRM KENDALI KES ISA SAMAD

BEKAS menteri, Rais Yatim menegur cara “kurang berhemah” Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengendalikan kes siasatan Isa Samad yang dilihat seolah-olah sudah diputuskan bersalah oleh mahkamah.

Sehubungan itu, beliau menggesa agar pihak SPRM tidak menggembar-gemburkan sesuatu kes yang masih disiasat.

“Dalam akhbar hari ini dilapor apa yang dicari dan dirampas, apa harta yang hendak dibeku dan tak dibekukan oleh SPRM hasil geledahan di premis Isa yang amat jelas kesnya sedang disensasikan oleh media atas dedahan SPRM.

“Wajarkah ini?” tulis bekas menteri dan juga bekas menteri besar Negeri Sembilan itu dalam Facebooknya hari ini.

Katanya, segala pendedahan yang dibuat menyebabkan umum mengetahui butiran segala rampasan dan taktik siasatan.

“Bukankah ini akan prejudis kes beliau?

“Saya menasihatkan pihak berkuasa supaya amat teliti dan tidak menggembar-gemburkan sesuatu kes yang masih disiasat,” kata Rais.

Menurut Rais, semua pendakwaan terhadap Isa perlulah dibuktikan terlebih dahulu di mahkamah mengikut Akta Keterangan 1950 dan Kanun Prosedur Jenayah CPC.

“Ikuti dan patuhilah. Islam juga tidak membenarkan sesorang itu nampak dipersalahkan sebelum jatuh hukum.

“Isa pun masih belum didakwa atau dicaj di mahkamah. Beliau baru direman tapi sudah macam dijatuhi hukuman melalui publisiti teruk,” katanya.

Pada 15 Ogos lepas, Isa dipanggil SPRM untuk direkodkan kenyataan bagi membantu siasatan berhubung pembelian dua hotel di London dan Kuching oleh Felda Investment Corporation (FIC).
Isa bagaimanapun, ditahan reman selama lima hari.

–¬†https://www.themalaysianinsight.com

.