Bekas MB sokong Akta 355 PAS

Ketika sesetengah pihak mengkritik rang undang-undang persendirian dibawa Datuk Seri Abdul Hadi Awang, bekas menteri besar Selangor pula mengambil pendirian sebaliknya.

Menurut Tan Sri Khalid Ibrahim beliau menyokong usul meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965.

Katanya beliau yakin konsep undang-undang yang cuba dibawa Abdul Hadi – turut dikenali dengan nama Akta 355 dan didakwa PAS untuk memperkasa mahkamah syariah – akan membawa keadilan walaupun ada pihak percaya ia tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

“Ya, saya rasa konsep syariah adalah berdasarkan keadilan. Walaupun rakyat tidak percaya hudud ia adalah bagus untuk dilaksanakan. Tapi perkara (lebih) penting bukan hudud tapi adalah keadilan untuk Muslim dan bukan Muslim.

“Saya tidak rasa undang-undang ini akan menyekat kebebasan bukan Muslim. Jika ia tidak adil, maka kita harus bekerjasama supaya undang-undang ini adil,” katanya.

Khalid berkata demikian kepada pemberita selepas majlis bual bicara di Cyberjaya hari ini.

Akta 355 dibawa Abdul Hadi ke Dewan Rakyat itu didakwa bertujuan mempertingkat kuasa mahkamah syariah di negara ini.
Ia dijangka dibentang untuk dibahaskan di Dewan Rakyat pada sidang akan datang.

Pada 1 Oktober lalu Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor memberitahu BN mencapai konsensus mengenai rang undang-undang Abdul Hadi itu.

Bagaimanapun, Setiausaha Agung BN berkenaan enggan mendedahkan apakah keputusan tersebut.

– M’kini

.