Bekas MB: Masalah utama pembeli sukar dapat pinjaman rumah

Cadangan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Tan Sri Noh Omar agar pemaju perumahan diberikan lesen untuk memberikan pinjaman kepada pembeli dipandang terlalu negatif.

Bekas menteri besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata hakikatnya cadangan itu disyorkan sebagai penyelesaian kepada masalah utama iaitu kesukaran pembeli mendapat pinjaman daripada bank dan syarikat kewangan.

“Saya mendapati cadangan tersebut telah mendapat reaksi yang terlalu negatif dari pelbagai pihak.

“Saya tidak pasti jika menteri telah mengkaji kesan terhadap cadangan tersebut tetapi kita perlu akui ia (cadangan tersebut) telah disyorkan sebagai penyelesaian kepada masalah utama iaitu kesukaran pembeli mendapat pinjaman daripada pihak bank dan syarikat kewangan.

Khalid berkata, semasa menjadi menteri besar Selangor, masalah pembeli mendapatkan pinjaman perumahan merupakan penghalang utama kepada usaha kerajaan negeri menyelesaikan masalah setinggan.

Ini kerana majoriti rakyat yang terpilih untuk membeli rumah kos rendah tidak menepati syarat yang ditetapkan terutama daripada segi pendapatan.

Justeru, antara usaha dilakukan kerajaan negeri adalah mengadakan perbincangan dengan pihak bank mengenai langkah yang boleh diambil agar pembeli turut layak mendapatkan pinjaman perumahan.

Antara cadangan itu adalah kerajaan negeri memberi jaminan tanggungan terhadap pinjaman yang diberikan, namun pihak bank menghadapi masalah mendapatkan persetujuan daripada Bank Negara.

“Akibatnya, sehingga kini masalah ketidakmampuan pembeli membayar harga rumah dan kesukaran mendapatkan pinjaman perumahan masih berpanjangan,” katanya.
Justeru beliau menyeru pihak-pihak yang terlibat agar kembali kepada masalah pokok iaitu masalah rakyat berpendapatan rendah untuk membeli dan memiliki rumah.

“Saya percaya adalah lebih baik jika semua pihak menggembeling tenaga dan kepakaran untuk menyelesaikan masalah yang menghantui rakyat berpendapatan rendah dan penduduk rumah setinggan untuk memiliki rumah daripada mengeluarkan kenyataan negatif tanpa memberikan cadangan yang mampu memberi nilai tambah kepada penyelesaian permasalahan,” katanya. – M’kini

.