BEKAS DUTA LUPAKAN PAS, PILIH DAP

Kepimpinan melalui kebolehan – itu keutamaan yang dilihat bekas duta Malaysia, Datuk Yeop Adlan Che Rose, yang kini secara rasmi menganggotai DAP.

Dengan pengalaman sebagai pegawai diplomatik Yeop Adlan menggunakan analogi tersendiri untuk menggambarkan sebuah negara yang mampu membangun dengan kerjasama pelbagai kaum.

Diminta mengulas mengenai cakap-cakap pemimpin Umno mengenai dominasi DAP, bekas anggota PAS itu sebaliknya menjawab dengan pertanyaan: Apa salahnya?

“Kalau beri (DAP) menerajui dan menunjukkan kebolehan, apa salahnya? Apa kita takut?

“Macam pasukan bola sepak. Kalau dulu pasukan bola Malaysia masyhur, siapa kapten (pasukan)? (Datuk) Soh Chin Aun. Tak ada apa-apa (masalah pun), Abdullah Nordin boleh bermain di sebelah Chin Aun, (Datuk) Santokh Singh bermain di belakang beliau,” ujarnya ” katanya seperti dilapor roketkini hari ini.

Yeop Adlan, 74, ialah diplomat Malaysia yang pernah berkhidmat sebagai duta negara di Mexico, Brazil, Argentina dan beberapa negara Afrika.

Bekas pelajar Maktab Melayu Kuala Kangsar itu pernah menyertai PAS ketika parti berkenaan menjadi tumpuan golongan profesional yang tertarik dengan pendekatan sederhana di bawah pimpinan Allahyarham Datuk Fadzil Noor.

Pada pilihan raya umum ke-11 (2004) Yeop Adlan dipilih PAS bertanding mewakili parti itu untuk merampas kawasan parlimen Hulu Langat namun gagal apabila beliau kalah kepada Datuk Markiman Kobiran.

Itu rekod dunia

Pada 2009 beliau dipinjamkan ke PKR untuk menjadi pengerusi Jawatankuasa Disiplin parti itu sebelum meletakkan jawatan kemudiannya.

Menurut Yeop Adlan kejayaan kerajaan Pulau Pinang juga menarik perhatiannya untuk menyertai DAP.

Bersama PKR, Parti Amanah Negara (AMANAH) dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), katanya DAP membentuk HARAPAN mentadbir Pulau Pinang dengan baik.

“Pulau Pinang dipegang BN selama 50 tahun tapi apa yang dia buat? Tak ada perancangan, kelam kabut, sesak, begitu begini dan sebagainya, terutama tempat makan, masyhur sebagai bau sampah.

“Tetapi (DAP) ambil dua penggal sahaja. Tengok, sudah bersih. Kerajaan waras dengan perbelanjaan. Tutup bocor (pembaziran), tak ada tiris. (Pelaksanaan) tender terbuka. Dia (kerajaan) belanja, tapi dengan baik.

“Hutang dah turun, daripada RM680 juta tinggal RM66 juta sahaja. Yang paling tinggi sekali (hutang) Pahang (iaitu) RM2.3 bilion,” katanya.

Kata Yeop Adlan lagi, kemajuan ekonomi orang Melayu hanya akan dapat dicapai dalam sebuah negara yang ditadbir seperti dilakukan HARAPAN di Pulau Pinang.

Beliau juga berpendapat tidak ada apa-apa yang perlu dibimbangkan jika DAP ditakdirkan lebih ke depan berbanding parti lain.

Pada masa sama katanya gejala rasuah perlu diberikan perhatian utama supaya dapat dibendung secara menyeluruh oleh kerajaan.

“Kalau dah masuk dalam akaun sendiri (peribadi) sampai RM2.6 bilion macam mana ni? Ini dah rekod dunia!” tegasnya.

– M’kini

.