BEKAS CEO TH HEAVY ENGINEERING DIDAKWA PECAH AMANAH

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) TH Heavy Engineering Bhd. (THHE), Datuk Noor Badli Munawir Mohamad Alias Latfi, 51, dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas lima pertuduhan pecah amanah melibat jumlah lebih RM2.5 juta, empat tahun lalu.

Noor Badli bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan di hadapan Hakim Madihah Hairullah.

Tuduhan itu melibatkan pengeluaran empat cek bernilai RM400,000, RM570,000, RM430,000, RM600,000 dan RM575,800 antara April hingga Oktober 2013.

Kesemua kesalahan tersebut didakwa dilakukan di pejabat THHE Fabricators Sdn. Bhd. tingkat 23, Tower B, Menara UOA, Bangsar, di sini antara April dan Oktober 2013.

Pertuduhan tersebut dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat dan boleh dikenakan denda.

– Sinar Harian

.