BEG PLASTIK: MB SELANGOR DICABAR DUDUK DI KAUNTER PASAR RAYA

SHAH ALAM – Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali dicabar untuk duduk di kaunter bayaran premis perniagaan bagi membuktikan dakwaan beliau kononnya kempen caj 20 sen mendapat sambutan menggalakkan dalam kalangan rakyat di negeri ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, sebagai Menteri Besar, Mohamed Azmin tidak seharusnya menge­luarkan kenyataan tanpa sebarang bukti yang seolah-olah memperlekehkan rungutan rakyat.

Katanya, berdepan secara langsung dengan rakyat, barulah Mohamed Azmin boleh membuat kesimpulan sama ada benar caj 20 sen ke atas penggunaan beg plastik dicemuh atau disokong oleh masyarakat.

“Sebab dia tidak duduk di kaunter. Kalau dia duduk di kaunter bayaran contohnya di pasar raya, baru dia rasa kena sumpah dengan rakyat.

“Cuba Menteri Besar duduk di kaunter, kita tengok dapat sam­butan atau cemuhan,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Mohamed Azmin semalam bertindak menghangatkan lagi kontroversi isu berkenaan apabila tanpa sebarang bukti bertindak mendakwa kempen bebas beg plastik mendapat sambutan menggalakkan.

Mengulas lanjut Sulaiman memberitahu, kerajaan PKR Se­langor tidak sepatutnya membuat sesuatu dasar secara membabi buta tanpa mengkaji kesannya kepada rakyat terlebih dahulu.

“Kalau nak melaksanakan kempen tiada beg plastik, kena ada satu tempoh waktu yang diberikan kepada orang ramai, selain alternatif seperti sediakan beg lain.

“Tidak boleh semberono, buat dasar terus laksana kerana memang akan menyusahkan rak­yat,” jelasnya.

Sementara itu, ADUN Sungai Burong, Datuk Shamsudin Lias juga pelik bagaimana Mohamed Azmin boleh menyatakan kempen bebas beg plastik yang menyebabkan pengguna dikenakan bayaran tambahan 20 sen itu mendapat sambutan.

“Sedangkan daripada maklum balas diterima, kebanyakan rakyat mengeluh dan menyatakan terbeban dengan kempen tersebut.

“Di kawasan saya pun ramai yang mengeluh kerana terpaksa membayar 20 sen untuk satu (beg) plastik. Benda nak kena bayar, tidak logik dapat sambutan, lainlah kalau percuma,” ujarnya.

– UTUSAN

.