BEG PLASTIK 20SEN: MB MINTA PENJELASAN ELI WONG

Menteri Besar Selangor mengarahkan anggota exco negeri, Elizabeth Wong, memberi penjelasan berhubung kritikan orang ramai terhadap caj 20 sen bagi setiap beg plastik.

Kata Datuk Seri Azmin Ali, Wong yang juga Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna sebelum ini mendakwa maklum balas daripada pengguna adalah positif.

“Saya dah minta exco beri penjelasan kerana sambutan yang dilaporkan beliau amat positif fi kalangan pengguna,” katanya kepada media di Shah Alam hari ini.

Selangor menguatkuasakan larangan penggunaan beg plastik dan polisterin setiap hari bagi semua pusat komersial utama mulai 1 Januari lalu selepas membuat peraturan sama setiap Sabtu sejak 2010.

Bagi pengguna yang tetap ingin menggunakannya, mereka bagaimanapun boleh mendapatkan ia dengan membayar tambahan 20 sen bagi setiap satu beg plastik.

Ia menimbulkan bantahan sesetengah pihak dan mempertikaikan kewajaran larangan itu kerana beg plastik – yang dianggap antara punca pencemaran alam sekitar – sebenarnya masih boleh digunakan dan tidak benar-benar diharamkan.

Azmin juga memberitahu bayaran 20 sen daripada dasar bebas beg plastik dan polisterin itu tidak masuk ke kantung kerajaan negeri.

Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Tan Sri Noh Omar pernah mempertikaikan larangan berkenaan dan ke mana kutipan jualan beg plastik itu disalurkan.

“Memang kerajaan negeri tidak ambil. Bayaran itu dikenakan oleh kedai-kedai yang menyediakan kemudahan berkenaan,” kata Azmin.

Pada masa sama, kerajaan negeri menyatakan, wang terkumpul daripada penjualan beg plastik berkenaan sepatutnya digunakan bagi kerja-kerja pemuliharaan alam sekitar.

Namun kerajaan negeri tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengaudit peniaga terbabit.

Sementara itu mengulas mengenai kenyataan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tun Dr Mahathir Mohamad, mengenai BR1M, Azmin berkata, ia akan diteruskan jika perlu dan secara telus andainya pembangkang berjaya membentuk kerajaan selepas pilihan raya umum ke-14 nanti.

Katanya Dr Mahathir sudah menjelaskan BR1M akan diteruskan jika ia dirasakan perlu dan tidak diagihkan oleh orang politik sebaliknya institusi tertentu.

“Mengapa ia (syarat BR1M untuk dikekalkan) tidak diberi penekanan (dalam laporan media)?” katanya.
Namun Azmin yang sebelum ini menganggap BR1M sebagai suatu bentuk rasuah bersikap lebih berhati-hati untuk menjawab.

“Takkan saya nak teruskan (amalam) rasuah? Saya perangi rasuah,” katanya.

– M’kini

.