‘Beberapa rakan kami dibogelkan untuk pemeriksaan’ – Dr Fauziah

Wakil tunggal Malaysia dalam misi kemanusiaan ‘Women’s Boat to Gaza’ (WBG) Dr Fauziah Mohd Hasan selamat tiba di tanah air, malam tadi.

Beliau yang menyertai misi kemanusiaan ke Palestin gagal untuk sampai ke Gaza setelah kapal Zaytouna-Oliva yang dinaikinya ditahan tentera Israel Rabu lepas.

Bagaimanapun, Dr Fauziah, 59, berkata ketika berada di atas kapal yang ditawan tentera Zionis untuk menuju ke Israel, beliau bersama 12 rakannya yang lain telah menjadi saksi kepungan rejim itu ke atas Palestin apabila melihat perbezaan suasana malam di Gaza dan Israel.

“Kami menangis, mengalirkan air mata melihat kawasan Israel yang begitu meriah diterangi lampu-lampu bergemerlapan, manakala keadaan di Gaza suram, menunjukkan salah satu bukti penindasan Israel ke atas Gaza,” katanya kepada media selepas selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur.

Walaupun kurang sehari mereka ditahan rejim Zionis dan dilayan dengan “agak baik”, namun baginya itu hanya tindakan propaganda Israel untuk menunjukkan kepada dunia bahawa mereka bukanlah kejam.
“Ketika ditahan beberapa rakan kami telah dibogelkan untuk pemeriksaan, dan mujur saya tidak melalui pemeriksaan itu mungkin kerana status saya sebagai seorang doktor,” dakwanya.

Menceritakan detik-detik sebelum ditahan, Dr Fauziah berkata beliau dan rakan-rakan misi bertindak membuang semua barangan tajam seperti pisau dan barangan elektronik termasuk telefon bimbit, tablet dan komputer riba apabila sedar kehadiran tiga buah kapal tentera berhampiran kapal mereka.

“Kami berulang kali berkata kepada tentera-tentera tersebut bahawa kami datang dalam keadaan aman dan mahu menuju ke Gaza, namun mereka dengan tegas menyuruh kami untuk berpatah balik,” katanya yang menambah ketika ditahan kapal mereka hanya berada pada 35 batu nautika dari Gaza.

Katanya setelah pihak mereka bertegas untuk tetap bergerak menuju ke Gaza, kapal mereka telah dipintas dan kemudian tentera-tentera Israel yang masing-masing lengkap bersenjata beserta dengan kamera GoPro masuk ke kapal mereka dan mengarahkan kesemua anak kapal untuk menyerah diri.

Kapal membawa misi kemanusiaan yang berlepas pada dari Barcelona, Sepanyol pada 15 September dengan membawa 10 aktivis wanita dan tiga anak kapal itu bertujuan untuk memecahkan kepungan haram Israel ke atas Gaza sejak 2007 sebelum ditahan pada Rabu malam (waktu Malaysia) oleh tentera Israel.

Sementara itu, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kagum dengan keberanian aktivis kemanusiaan Malaysia itu yang sanggup menempuh bahaya demi misi kemanusiaan bagi membantu rakyat Palestin di Gaza.

Perdana menteri juga melahirkan rasa syukur kerana Dr Fauziah telah selamat kembali ke tanah air malam ini, setelah dibebaskan berikutan kumpulannya, Women Boat’s to Gaza (WBG), ditahan oleh tentera Israel pada Rabu lepas.

“Kagum dgn (dengan) keberanian Dr Fauziah Hassan, hadapi bahaya bagi bantu mereka di Gaza. Alhamdulillah kini beliau selamat kembali ke M’sia (Malaysia). Moga dirahmati,” kata Najib melalui akaun Twitternya @NajibRazak semalam.

– Bernama

.