BAYANGAN PAS AKAN TERKUBUR HANYA MIMPI

KOTA BHARU – Dakwaan Pas akan terkubur di Kelantan pada PRU14 nanti disifatkan sebagai tafsiran tidak berpijak di bumi nyata.

Ketua Pemuda Pas Kelantan, Ahmad Fadhli Shaari berkata, pihak berkenaan tidak boleh meletakkan keyakinan yang tidak berasas sebegitu dengan menjadikan pergolakan sebagai kayu ukur.

“Apa yang mereka fikir itu sebenarnya impian tidak berpijak di bumi nyata. Mereka kena ingat Umno pun berpecah, PKR pun bergolak,” katanya.

Terdahulu beliau menghadiri Karnival Bio-Kelantan 2017 yang  dirasmikan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob di Pusat Transformasi Bandar di sini.
Beliau berkata demikian mengulas pandangan Pemuda Amanah Kelantan, Hazmi Hassan yang membayangkan Pas akan kalah teruk pada PRU14 nanti jika tidak bekerjasama dengan Pakatan Harapan.

Dalam perkembangan lain, mengulas mengenai pelawaan Bersatu mengajak Pemuda Pas bersama-sama menyertai Konvensyen Pemuda Harapan Kelantan, Ahmad Fadhli menolak ajakan tersebut.

Bukan bersikap angkuh dan sombong, tetapi Ahmad Fadhli berharap Bersatu memahami dan menghormati pendirian Pas yang tidak akan sepentas dengan mereka jika  DAP dan Amanah turut bersama.

“Kita hargai jemputan mereka, tetapi kita minta mereka hormati ketetapan Pas  Pusat. Kalaulah undangan tersebut tidak melibatkan DAP dan Amanah Insya-ALLAH kita akan hadir,” katanya.

Hari ini, Ketua Armada Bersatu, Asran Alias menyerahkan surat jemputan rasmi kepada Pemuda Pas di pejabatnya untuk menyertai satu slot disediakan khas sempena konvensyen itu.

– SH