BAWA KE PERINGKAT TERTINGGI JIKA TAK PUAS HATI – SALAHUDDIN

SHAH ALAM – Sebarang rasa tidak puas hati terhadap hasil pembahagian kerusi serta pengumuman calon Presiden Pakatan Harapan (Harapan) akan dibawa kepada peringkat tertinggi Harapan.

Timbalan Presiden Amanah, Salahuddin Ayub berkata, ia perlu ditangani dengan sebaiknya bagi memuaskan hati semua pihak dalam Harapan.

“Kita ingin supaya keputusan-keputusan ini dapat diterima oleh seluruh ahli dan di setiap peringkat semua anggota parti.

“Saya percaya rundingan kerusi Harapan di peringkat Dun sama ada yang telah dan sedang berlangsung dapat membantu menyelesaikan rasa tidak puas hati berhubung jumlah kerusi di peringkat Parlimen bagi semua parti dalam Harapan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau lagi, kejayaan rundingan kerusi dan mengisytiharkan Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai calon Perdana Menteri dan Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon Timbalan Perdana Menteri adalah bermakna pimpinan Harapan mampu melihat ke hadapan demi kepentingan rakyat dan masa depan negara.

“Bagi yang tiada kerusi Dun seperti Wilayah Persekutuan, maka ketidakpuasan hati ini akan ditangani dengan cara lain,” katanya lagi.

– Sinar Harian

.