BATALKAN KERAKYATAN SAYA SEKALI, KATA SYED SADDIQ

Ketua Pemuda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Syed Saddiq Abdul Rahman hari ini menyatakan kebersamaannya dengan 1.75 juta orang rakyat Malaysia yang dipertikaikan taraf kewarganegaraan mereka.

Menyatakan “jijik” dengan “provokasi” , Syed Saddiq berkata langkah Barisan Bertindak Melayu Islam (BERTINDAK) itu sama sekali tidak mewakili kehendak kolektif masyarakat Melayu.

“Mereka ini sebenarnya merupakan sebuah penghinaan kepada orang Melayu. Saya orang Melayu tetapi kewarganegaran sebagai rakyat Malaysia tetap diutamakan,” katanya

BERTINDAK, gabungan baru beberapa kumpulan Melayu semalam, mengumumkan rancangannya untuk mencabar proses pemberian kerakyatan terhadap 1.75 juta orang antara tahun 1957 hingga 1970.

Jurucakap BERTINDAK Mohd Khairul Azam Abdul Aziz berkata langkah itu akan diambil selepas proses itu didakwa mencabul syarat-syarat dalam Perlembagaan Persekutuan.

Katanya, Jadual 1 Perlembagaan Persekutuan berkaitan sumpah kesetiaan warganegara tidak berlaku dalam proses pemberian kerakyatan antara tempoh itu, melibatkan angka sehingga 1.75 juta orang.

Dalam kenyataan hari ini, Syed Saddiq melibat perkembangan itu sebagai merisaukan memandangkan hubungan kaum yang terbina selama ini.

“Kita sudah hidup bersama-sama selama berdekad. Kita juga makan bersama-sama, pergi ke sekolah bersama-sama, bekerja bersama-sama, malah berjuang menentang peperangan dan konflik bersama-sama.

“Tetapi masih pihak yang tidak bertanggungjawab ini cuba untuk memadamkan sejarah di sebalik perpaduan yang telah menyatukan kita semua bawah Jalur Gemilang,” katanya.

Justeru, Syed Saddiq juga melihat apa yang berlaku sebagai serangan terhadap dirinya sendiri.

“Jika (BERTINDAK) ingin menarik balik kerakyatan mereka, saya cadangkan supaya BERTINDAK menarik balik kerakyatan saya sendiri juga.
“Saya mungkin seorang Melayu berdasarkan etnik, tapi saya tetap bersama-sama dengan saudara Cina, India, Kadazan, Iban dan lain-lain kerana pada akhirnya kita semua bersatu sebagai rakyat Malaysia.

“Serangan kepada mereka merupakan serangan ke atas saya juga,” katanya.

BERTINDAK, antara lain, dianggotai oleh kumpulan pendesak Melayu PERKASA, Pertubuhan Muafakat Malaysia dan Persatuan Pengguna Islam Malaysia.

– M’kini

.