Bapa pelajar hilang akan ke Perancis

SUNGAI PETANI – Bapa kepada pelajar hilang di Perancis, Nur Shakinah Naim, 19, akan ke negara itu bagi menjejaki anaknya yang dilaporkan tidak pulang sejak Jumaat lalu.

Naim Awang, 46, dari Kampung Masjid, Tikam Batu dijadualkan ke Paris esok bagi mendapatkan maklumat terkini dan perkembangan kes dengan pihak berkuasa Perancis mengenai kehilangan anak kedua dari enam beradik itu.

Nur Shakinah yang merupakan pelajar University of Technology (IUT) Roanne merupakan bekas pelajar cemerlang Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pekula Jaya, Tikam Batu mengikuti pembelajaran di sana selepas mendapat tajaan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) sejak setahun lalu.

“Saya berharap sangat ada maklumat terkini tentang anak saya dalam masa terdekat kerana seluruh ahli keluarga menantikan dengan penuh debar sebab nak tau apa yang sebenarnya berlaku,” katanya.

Naim yang mengerjakan sawah padi sementara isterinya menjual ikan pekasam berterima kasih atas keprihatinan Ketua Umno Bahagian Sungai Petani, Mejar (B) Datuk Rahim Saad atas tajaan tiket kapal terbang, kos pengangkutan dan kemudahan buat dirinya dan isteri untuk ke Perancis.

“Terima kasih tak terhingga buat semua yang membantu, kami di sini tidak henti-henti berdoa dan mengerjakan solat hajat agar segala kesulitan dipermudahkan,” katanya.

Sementara itu, Rahim berkata, pihaknya bersimpati atas musibah yang melanda keluarga tersebut selain meminta rakyat Malaysia berdoa agar urusan terbabit berjalan lancar.

“Umno Bahagian Sungai Petani juga akan menganjurkan solat hajat selepas Maghrib nanti di Masjid Pulau Sepom, Tikam Batu dan mengajak semua yang berdekatan untuk turut serta,” katanya.

Nur Shakinah dilaporkan tidak pulang ke rumahnya sejak Jumaat lalu apabila keluar sehelai sepinggang, selepas bapanya menerima panggilan dari Kedutaan Malaysia di Perancis Isnin lalu.

Pada 2012, Sinar Harian melaporkan Nur Shakinah adalah pelajar cemerlang SMK Pekula Jaya atas kecemerlangan dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR). – Sinar Harian

.