BANK NEGARA BELI TANAH KERAJAAN DENGAN HARGA RM2 BILION

BANK Negara Malaysia (BNM) telah membeli 22.58 hektar tanah daripada kerajaan, pada harga RM2 bilion untuk digunakan sebagai penempatan semula Universiti Kewangan Islam Global dan Akademi Penyelidikan Syariah Antarabangsa dalam Kewangan Islam.

Tanah itu juga boleh dimajukan bagi pembangunan masa depan kemudahan pendidikan dan latihan yang akan memberi tumpuan kepada  usaha meningkatkan keupayaan teknikal bakat-bakat dalam industri kewangan.

“Ia terletak bersebelahan dengan Kompleks Sasana  Kijang BNM, yang dilengkapi dengan kemudahan latihan serta persidangan yang canggih dan ia juga menempatkan organisasi-organisasi antarabangsa seperti Bank Dunia, Pusat Penyelidikan dan Latihan Bank-bank Pusat Asia Tenggara serta Persekutuan bagi Rangkuman Kewangan.

“Ia juga terletak berhampiran dengan kompleks Asia School of Business (kerjasama dengan Massachusetts Institute of Technology) dan Pusat Latihan Industri Kewangan yang sekarang ini sedang dalam pembinaan,” katanya dalam satu kenyataan.

Penyelesaian dalam urus niaga ini dicapai selepas melalui perbincangan selama beberapa bulan antara kedua-dua pihak.

– Bernama

.