BANJIR: SETAKAT INI SPM, STPM DITERUSKAN DI P.P, KEDAH

PETALING JAYA – Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) akan diteruskan mengikut jadual di Pulau Pinang dan Kedah yang dilanda banjir ketika ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk P. Kamalanathan berkata, ketika ini kementerian berkenaan sedang memantau situasi bencana itu dan berharap peperiksaan dapat berjalan pada masa yang ditetapkan.

Menyifatkan banjir itu sebagai sesuatu yang mencabar, beliau meminta ibu bapa dan guru membantu untuk memastikan keselamatan pelajar.

“Keutamaan adalah keselamatan pelajar. Semua pengarah Jabatan Pendidikan negeri telah memaklumkan guru dan pengawas peperiksaan untuk bersiap sedia serta membantu calon peperiksaan,” katanya kepada The Star pada Ahad.

Jika tiada perubahan jadual SPM 2017 pada Isnin, 6 November hingga 4 Disember, seramai 443,883 calon akan menduduki peperiksaan itu di 3,363 pusat di seluruh negara.

Sementara itu, seramai 45,303 calon bakal menduduki STPM 2017 di 683 pusat peperiksaan seluruh negara pada 6 hingga 9 November dan 14 November, manakala 50,011 calon untuk STPM 2018 pula dijadualkan pada 15 dan 16 November, sebelum diteruskan pada 20 dan 21 November di 670 pusat peperiksaan.

Menerusi kenyataan Pegawai Perhubungan Awam, Lembaga Peperiksaan Malaysia, Khawari Idris, calon yang tidak dapat ke pusat peperiksaan yang ditetapkan boleh ke mana-mana pusat yang berdekatan, memaklumkan masalah kepada pihak bertanggungjawab sebelum menduduki peperiksaan.

Untuk sebarang kes kecemasan, calon boleh menghubungi bilik bergerak LPM yang beroperasi daripada pukul 7 pagi hingga 5 petang setiap hari di talian 03-6126 1668/1600 (umum), atau 03-6126 1650/1651/1653/1661/1662.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/05/spm-diteruskan#879o0Yjewf7dGA8S.99

– Mstar

.