BANJIR DI EMPAT NEGERI, 20 SEKOLAH TUTUP

KUANTAN, 2 Jan -- TUTUP … Murid Pra Sekolah Kebangsaan Panching Azra Damia Nor Azuan tidak dapat memulakan hari pertama persekolahan selepas sekolahnya terpaksa ditutup akibat banjir hari ini. Turut kelihatan seorang kanak-kanak bermain banjir di kawasan sekolah yang dinaiki air. Sebanyak 11 buah sekolah di Pahang terpaksa ditutup selepas dilanda banjir. --fotoBERNAMA (2018) HAK CIPTA TERPELIHARA

KUALA LUMPUR – Sesi persekolahan 2018 bagi 11 sekolah di Pahang dan tiga di Sarawak yang bermula hari ini terpaksa ditangguhkan berikutan  banjir.

Turut ditutup hari ini akibat banjir ialah enam lagi sekolah iaitu masing-masing tiga di Kelantan dan Terengganu – dua negeri yang memulakan sesi persekolahan semalam.

Pemangku Pengarah Pendidikan Pahang Dr Tajuddin Mohd Yunus berkata penangguhan itu melibatkan sembilan sekolah di daerah Kuantan dan masing-masing satu di  Pekan dan Jerantut .

Beliau berkata, 11 sekolah berkenaan diberi cuti kecemasan atas faktor keselamatan manakala guru sekolah terbabit diminta melapor diri di sekolah berhampiran.

Terdapat 195 sekolah menengah dengan lebih 110,000 pelajar dan 540 sekolah rendah  dengan 150,000 murid di Pahang.

Untuk keseluruhannya di seluruh negara, Kementerian Pendidikan merekodkan 4.7 juta pelajar daripada Tahun Satu hingga ke Tingkatan Lima bagi sesi persekolahan 2018.

Di Sarawak, penutupan sementara itu melibatkan sebuah sekolah di Belaga dan dua di Subis manakala tiga sekolah yang ditutup di Kelantan terletak di jajahan Tanah Merah.

Tiga sekolah yang ditutup sementara di Terengganu pula melibatkan dua sekolah di Dungun dan satu di Kemaman.

Dalam pada itu, semua  sekolah di Wilayah Persekutuan Putrajaya tidak lagi melaksanakan sistem pengasingan kelas mengikut tahap penguasaan akademik pelajar pada sesi persekolahan 2018, kata Pengarah Pendidikan Wilayah Persekutuan Putrajaya Roaini Jaafar.

Beliau berkata konsep itu turut mendapat sambutan daripada ibu bapa kerana para pelajar tidak lagi diasingkan untuk pencapaian akademik, sebaliknya digabungkan dalam kelas yang sama dalam proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) di negara ini selaras dengan pembelajaran abad ke-21 di 14 sekolah kebangsaan dan 26 sekolah menengah.

Sementara itu, di Selangor, 91,656 murid memulakan persekolahan Tahun Satu manakala secara keseluruhan, 924,868 pelajar memulakan sesi persekolahan di seluruh Selangor bagi sesi persekolahan 2018.

Di Negeri Sembilan, 169,345 pelajar Tahun Satu hingga Tingkatan Lima memulakan sesi pertama persekolahan mereka hari ini manakala di Perlis, 3,882 murid Tahun Satu memasuki alam persekolahan.

Perak merekodkan sejumlah 32,774 murid Tahun Satu dan 34,817 pelajar Tingkatan Satu untuk sesi persekolahan baharu ini.

Sabah pula mempunyai 45,558 murid Tahun Satu dan 46,128 pelajar Tingkatan Satu.

— Bernama

.