BANGSATKAH MELAYU TANPA UMNO?

SABDA Rasulullah SAW, “Jihad yang paling utama adalah mengutarakan perkataan yang adil di depan penguasa atau pemimpin yang zhalim.” (HR. Abu Daud, Tirmidzi, Ibnu Majah, dan Ahmad).

Tahun 2018, genaplah 72 tahun Umno bertapak di bumi bertuah ini. Kita adalah antara parti yang paling lama memerintah sesebuah negara. Anak muda seperti saya pastinya tertanya-tanya, bagaimanakah sebuah parti seperti Umno ini dapat bertahan begitu lama, sedangkan parti konservatif di United Kingdom (UK) yang begitu besar pengaruhnya pun silih berganti dengan parti lain.

Allahyarhamah nenda saya selalu bercerita tentang orang-orang Melayu dahulu yang sanggup melakukan apa sahaja demi parti keramat ini, meskipun selepas kemerdekaan.

Nenda juga bercerita tentang penghormatan yang diberikan oleh kaum-kaum lain kepada Umno. Masih basah di ingatan saya semangat nenda yang berkobar-kobar menceritakan tiadalah mana-mana pihak yang berani menyangkal kehebatan Umno dalam membela nasib orang Melayu.

Umno tidak lagi begitu. Umno bukanlah lagi parti yang dihormati kawan dan disegani lawan. Umno bukan lagi parti yang menggemakan suara ahli-ahlinya. Umno kini adalah sebuah parti yang ekskusif.

Umno bukan lagi parti untuk “Pak Man dan Pak Mat” di kampung, tetapi Umno kini hanyalah untuk golongan elitis, kontraktor-kontraktor terpilih dan usahawan-usahawan yang bakal menjaga kepentinggan sesetengah pemimpin. Golongan inilah yang sedang menentukan hala tuju Umno.

Saya mengenali politik pada usia yang sangat muda. Saya mula peka terhadap politik pada zaman kekalahan Barisan Nasional (BN) di Terengganu.

Ketika itu, orang Umno takut untuk mengaku mereka orang Umno namun apabila menang kembali pada 2004, tiba-tiba ramai yang mencanangkan diri mereka sebagai pendekar  gelombang biru.

Berbeza dengan hari ini, pada saat kita menang dan mempunyai mandat, orang Umno langsung tidak berbangga dengan Umno lagi. Bukan mereka takut tetapi sebetulnya malu untuk mengakui mereka orang dan ahli Umno.

Hal ini terkesan oleh kebobrokan isu dalaman parti yang melibatkan individu-individu tertentu sehinggakan lumpurnya terpalit menjejaskan nama baik dan reputasi Umno sendiri.

Perhimpunan agung Umno baru-baru ini boleh saya sifatkan sebagai perhimpunan Mat Jenin. Matlamat utama parti adalah untuk mendapat kemenangan yang besar untuk pilihan raya akan datang. Apabila ditanya oleh presiden parti bolehkah kita menang, sahutan para perwakilan pastinya “boleh!”.

Namun sepanjang persidangan, berapa kerat yang menyuarakan tentang isu-isu pokok yang sedang melumpuhkan parti? Berapa orang yang berani menyuarakan masalah-masalah dalaman yang dihadapi parti kita ini di peringkat bahagian mahupun pusat?

We are in denial. Kita tahu dan sedar yang parti kita sedang sakit, dimamah kuman setiap hari namun kita masih belum bersedia untuk mengakui kita berpenyakit dan segera mendapatkan rawatan.

Apakah usaha kita dalam memperkuatkan parti? Apakah usaha kita untuk meredakan kemarahan rakyat? Apakah ini semua tidak perlu dibincangkan? Apakah menjaja perpecahan parti lawan lebih penting?

Adakah strategi perang kali ini adalah dengan membina kekuatan di atas kelemahan orang lain? Bukan itu sahaja, di persidangan ini juga kita menampakkan kita ini “desperado”, begitu terdesak untuk bergantung pada PAS.

Mana perginya Umno yang gah itu? Parti yang nenda saya ceritakan dulu, apakah sudah tiada? Apakah parti itu sudah tidak mampu berdiri di atas kakinya sendiri?

Jika benar, maka tidak terkejutlah jika Umno akan tersungkur dan rebah dalam percaturan pilihan raya ke-14. Ahli-ahli parti tidak mahu tahu cerita puluhan tahun lepas, apa yang mereka mahu adalah pelan masa depan parti kita, negara kita.

Apa yang mereka mahu adalah penerangan dan tindakan isu-isu ketirisan seperti Felda, 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Projek Air di Sabah dan lain-lain.

Kalian mungkin tertanya mengapakah isu-isu ini penting buat kami? Kerana kami jentera di peringkat bawahlah yang akan berdepan dengan tentera-tentera pembangkang yang akan berpelurukan isu-isu ini.

Sungguh tidak bijak menggunakan masa yang ada untuk menghentam parti pembangkang, atau pun mencuba memadamkan sejarah kejayaan Dr  Mahathir Mohamad.

Strategi ini tidak akan membawa Umno ke mana-mana justeru ia hanya membakar sentimen rakyat yang rata-rata “terhutang budi” atas jasa dan pengorbanan Dr Mahathir.

Masa yang ada seharusnya digunakan untuk mencari keadilan dan kedamaian minda bagi rakyat supaya apabila tiba hari mengundi, rakyat tidak ragu-ragu. Mereka sewajarnya masuk ke tempat pembuangan undi dengan matlamat yang jelas dan jitu.

“Melayu akan terbangsat dibumi sendiri tanpa Umno”. Terima kasih presiden parti atas nasihat dan peringatan itu, mungkin benar Melayu akan merempat, ketinggalan, tertekan dan ditindas.

Ada juga pemimpin yang menyifatkan anak-anak muda “opposition friendly” ini sebagai bodoh. Bodohkah anak-anak muda ini? Jika bodoh pun mereka, adalah kerana pimpinan kita pada hari ini adalah pimpinan yang bodoh sombong.

Pemimpin yang tidak boleh menerima pandangan yang tidak selari dengan mereka dan yang tidak mengakui kelemahan serta kesilapan mereka sekali gus menyebabkan para pengikut berada di dalam dilema: ibarat buah kepayang, dimakan mabuk dibuang sayang.

“Sorry seems to be the hardest word”,  kerana pegangan inilah akhirnya nanti Umno yang akan terbangsat di bumi Melayu.

PAS sekutu tidak ikhlas

Kita memerlukan PAS kerana kita lemah. Kita sanggup dimalukan dan bertolak ansur dengan PAS demi meraih sokongan. Orang-orang Terengganu, Kelantan dan Kedah cukup mengenali parti ini.

Mereka tidak pernah jujur dalam persahabatan. Mereka tidak akan melakukan sesuatu tanpa keuntungan pada diri sendiri dan mereka pastinya akur pada “the highest bidder”.

Kita akui pengaruh yang dimiliki oleh parti bulan ini. Sanusi Junid pernah berkata di mana ada pondok, di mana ada padi, di situ ada PAS.

Namun percayalah rakan-rakan seperjuanganku, kita tidak boleh bergantung harap kepada mereka. Bersekongkol dengan PAS samalah seperti silap mata pecah kepala.

Orang-orang Umno di kampung masih ingat kezaliman dan pengkhianatan yang dilakukan pada zaman pemerintahan mereka. Kita masih ingat bagaimana anak-anak Tabika Kemas dihalau dari tempat pembelajaran mereka.

Kita masih ingat bagaimana pejabat kerajaan dikunci sebaik sahaja mereka menang. Kita juga masih ingat bagaimana mereka menggadaikan hasil bumi kita dengan rakusnya.

Lupakahlah, janganlah bersekongkol dengan parti ini, orang-orang Umno yang pernah merasai keperitan dan kezaliman mereka pastinya akan akan kecewa dan semakin jauh daripada parti kita, rasailah keperitan yang pernah dialami mereka.

Umno harus berdepan realiti

Rakyat tidak pernah menolak parti bahkan rakyat sayang kepada parti keramat kita, ibarat kayu besar di tengah padang, tempat bernaung kepanasan, tempat berlindung kehujanan.

Namun, apa yang menjadi bebanan kepada parti adalah pemimpin.

Walau sekerap mana kita menunjukkan keburukan pemimpin terdahulu, ia tidak akan menutup  dan membuatkan rakyat lupa tentang kesilapan diri kita. Bangkai gajah masakan bisa ditutup dengan daun pisang.

Walau sekencang mana sekali pun TV3 menghentam Dr Mahathir siang dan malam, rakyat tidak akan memaafkan kita, malah rakyat semakin naik muak dan jijik dengan propaganda yang disebarkan.

Jangan fikir anak-anak muda menyokong membabi buta. Jangan fikir anak-anak muda tidak tahu apa yang berlaku pada era Dr Mahathir. Setelah dihitung, ditolak tambah dan bahagi keburukan beliau, mereka masih memilih untuk tidak bersama Umno.

Kita sudah tiada masa. Seharusnya kita pada saat ini telah dikukuhkan dalamannya. Namun sewaktu gendang perang dipalu, kita masih berkeliaran, belum diberikan senjata, luka perang lama masih belum terubati. Panglima-panglima kita masih belum dipanggil, strategi masih belum diatur.

Ambillah mana yang baik nukilan saya ini. Ramai yang di luar sana seperti saya, yang mahukan kebaikan untuk parti ini, yang sanggup berjuang untuk parti ini.

Saya tidak akan ke mana-mana, saya akan sentiasa bersama parti ini, biar jatuh, biar pecah berderai, biar ditusuk pisau tajam, darah ini merahnya Umno, jiwa ini milik Umno dan kudrat ini tetap akan membuat jasa demi perjuangan alif ba ta.

– https://www.themalaysianinsight.com

.