SHAH ALAM – Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Irmohizam Ibrahim menegaskan bahawa kumpulan baju merah bukannya sebahagian daripada Umno dan ia merupakan badan yang mewakili beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara ini.

Menurut beliau, Umno tidak pernah mengeluarkan sebarang bentuk arahan kepada kumpulan baju merah dan tindakan mereka tampil ke hadapan adalah sebagai tanda keprihatinan terhadap keamanan masyarakat di negara ini.

“Kalau kita lihat, sekiranya gerakan Bersih ini tak ada, maka baju merah pun tak akan ada.

“Penting untuk difahami bahawa baju merah datang hasil daripada keprihatinan mereka bagi memastikan keamanan dan sistem undang-undang di negara ini dihormati,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Terdahulu, Ketua Penerangan Umno, Tan Sri Annuar Musa juga mengeluarkan kenyataan dengan mendakwa tindakan oleh kumpulan baju merah sebelum ini tidak mempunyai sebarang kaitan dengan Umno.

Dalam pada itu, Irmohizam memaklumkan bahawa sewaktu pembentangan bajet negeri Selangor di sidang Dun baru-baru ini, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali juga telah menyatakan sokongan terhadap Bersih melalui ucapannya.

“Ini menunjukkan Bersih mendapat sokongan daripada Kerajaan Negeri Selangor dan tuduhan yang mengaitkan kumpulan baju merah dengan Umno adalah fitnah,”katanya.

“Baju merah terdiri daripada pelbagai NGO dan tampil ke hadapan bagi memastikan himpunan dianjurkan Bersih ini dapat dihalang,”katanya.

SINAR HARIAN
.