BAJU MERAH JUGA BOLEH BERHIMPUN: BERSIH TIADA MASALAH BERDEPAN 300K PESERTA BAJU MERAH – MARIA

KUALA LUMPUR – Bersih 2.0 tiada masalah berdepan dengan 300,000 peserta baju merah dalam himpunan Bersih 5, yang akan berlangsung 19 November ini.

Pengerusi Bersih 2.0, Maria Chin Abdullah berkata, baju merah juga boleh berkumpul kerana ia hak perhimpunan dijanjikan dalam Perlembagaan.

“Tetapi kita harap baju merah jangan bawa keganasan fizikal dan memainkan politik perkauman seperti mengugut dengan peristiwa 13 Mei. Ini tidak boleh diterima rakyat Malaysia,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Pengerusi Gabungan NGO-NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos yang mendakwa mendapat sokongan 300,000 orang untuk berhimpun bagi menyekat Bersih 5.

Kata Jamal, baju merah tidak teragak-agak melakukan apa sahaja untuk sekat perhimpunan itu.

Maria berkata, peserta Bersih 5 diingatkan lebih berhati-hati berikutan kemungkinan ancaman daripada baju merah.

Katanya, ia berikutan kenyataan Jamal, baju merah akan meneruskan walau ‘bermandi darah’.

“Polis mesti ambil tindakan terhadap Jamal yang mengugut dan keluarkan kenyataan berbentuk kekerasan itu,” katanya.

SINAR HARIAN

.