BAJU KUNING GANGGU ‘EVENT GENG MOTOR

KUALA LUMPUR – Penganjur program Dataran Drag Battle 2016 (R2), di Dataran Merdeka melahirkan rasa kesal dengan tindakan kumpulan baju kuning yang didakwa membuat kecoh di program mereka pagi ini.

Pengerusi Biro Hal Ehwal Bandar & Perumahan (HELP), Nazir Hussin Akhtar Hussin berkata, keadaan program yang pada mulanya berlangsung aman bertukar kecoh sedikit sebanyak telah menggangu kelancaran acara tersebut.

“Pagi ini kita ada pendaftaran, bagi kumpulan penunggang motosikal berkuasa tinggi lebih kurang 300 peserta yang telah tiba di Dataran Merdeka.

“Tiba-tiba kami nampak segerombolan berbaju kuning, lebih kurang dalam 100 orang datang hendak buat kecoh pada program kami.

“Kita sekarang dah minta bantuan polis, kami tidak mahu mereka buat kacau program kita sebab apa yang pasti kalau dia buat ‘havoc’, risau akan berlakunya pergaduhan besar,” katanya kepada Sinar Online hari ini.

Mengulas lanjut, Nazir berkata, perkara itu sepatutnya tidak berlaku kerana pihaknya tidak berniat untuk menganggu mana-mana pihak.

“Pihak kami risau akan berlaku perkara yang tidak sepatutnya, ini program anak muda bukan program mereka, jadi kita harap polis dapat mengawal keadaan ini,” katanya lagi.

Program Dataran Drag Battle 2016 (R2), di Dataran Merdeka berlangsung selama dua hari dan akan berkahir esok, terdapat sebanyak lapan acara pertandingan motosikal yang dipertandingkan.

Program ini dianjurkan HELP, dengan kerjasama Dewan Bandaraya Kuala Lumpur DBKL, Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), dan Pemuda Umno Wilayah Persekutuan.

SINAR HARIAN

.