BAJET P PINANG: JAHARA DAKWA ADA ‘MANIPULASI’, GUAN ENG JAWAB ‘PEMBOHONG’

Pemimpin kerajaan dan ketua pembangkang Pulau Pinang terus berperang lidah susulan peningkatan besar kepada pejabat ketua menteri dan setiausaha kerajaan negeri (P01) dalam Belanjawan 2017.

Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng bukan sahaja menafikan dakwaan Jahara Hamid (BN-Teluk Ayer Tawar) tetapi juga menggelarnya sebagai “pembohong”.

Ini susulan Jahara mendakwa terdapat “manipulasi” angka dalam belanjawan itu.

“Bagaimana kami kata manipulasi angka kalau kewangan kita disahkan oleh Ketua Audit Negara?” kata Lim dalam sidang media di Dewan Undangan Negeri (DUN) hari ini.

Semalam, Lim menjejaskan bahawa peningkatan besar peruntukan P01 susulan kemudahan pinjaman kepada Penang Development Corporation (PDC) – penjelasan yang gagal memuaskan hati Jahara.

Lim berkata perbelanjaan sebenar P01 tidak banyak berbeza dengan tahun ini, iaitu sebanyak RM161,588,160.

Peningkatan kepada RM707,611,840 susulan pinjaman kepada PDC, jelasnya lagi.

Lim berkata PDC sebagai sebuah agensi negeri akan menggunakan pinjaman sebanyak RM609.9 juta untuk pengambilan tanah dan pembangunan Seberang Perai.

Jahara bagaimanapun mahu tahu berkaitan rancangan sebenar untuk PDC membuat pembayaran balik.

“Di mana wang itu akan diletakkan?

“Ia tidak boleh diletak bawah pendapatan kerana ia bukan produktiviti,” kata Jahara di luar pejabat ketua pembangkang.

Beliau juga berkata penggunaan peruntukan P01untuk pengambilan tanah juga bukanlah amalan biasa.

“Sudah bertahun-tahun PDC mengambil tanah tetapi peruntukannya tidak pernah datang daripada pejabat kedua menteri,” katanya.

MKINI

.