BAJET 2018: MENGAPA PAS BERKECUALI?

HARI ini tamat menteri menjawab perbahasan Belanjawan 2018 di peringkat dasar. Setelah dibahas dari 30 Oktober hingga 13 November 2017, petang ini hari untuk mengundi.

Menyokong 107 orang, menentang 59 orang dan 11 orang berkecuali.

Peraturan membenarkan untuk sokong, tolak atau tidak mengundi (berkecuali). Keputusan PAS berkecuali bermakna ada yang PAS sokong dan ada yang PAS bangkang.

PAS menyokong perbelanjaan bermanfaat kepada rakyat seperti mendirikan sekolah, hospital, BR1M, biasiswa, bantuan kepada petani, nelayan.

PAS membantah 1MDB yang tidak selesai hingga kini, masalah Felda, cukai barangan dan perkhidmatan (GST) yang menyusahkan rakyat miskin, tol, ketirisan, projek tidak sampai ke sasaran, diskriminasi, kroni.

Semua anggota Parlimen PAS membantah dan memberi cadangan sewaktu membahas bajet.

Cuma PAS berkecuali ketika mengundi. Apa masalahnya?

Musuh PAS akan tuduh macam-macam. Modal yang paling popular ialah PAS hendak ber-UG (kerajaan perpaduan) dengan Umno. PAS hendak bagi nafas kepada Datuk Seri Najib Razak.

Tak tuduh Pakatan Harapan

Tapi PAS sudah lali dengan tuduhan itu.

Jikalau anggota parlimen PAS menolak bajet, tiba-tiba sewaktu bahas kita minta kerajaan berikan projek sekolah, hospital, jalan raya dan lain-lain lagi, bukankah itu satu kepelikan? Tolak tetapi minta projek?

PAS ada sikap yang tersendiri. RUU 355 PAS sokong kerana memberi manfaat kepada ummah. Walaupun Pakatan Harapan menolak.

RUU 164, PAS lawan walaupun dibawa oleh kerajaan. Pakatan Harapan menyokong, malahan mencadangkan supaya kerajaan membawa ke dalam parlimen bagi membolehkan pindaan perlembagaan dibuat untuk mendapat sokongan dua per tiga.

Pakatan Harapan bersedia untuk bersama kerajaan BN dalam isu RUU 164. PAS tidak tuduh Pakatan Harapan ber-UG dengan BN.

Hari ini PAS berkecuali lagi. Sikap PAS jelas. Kebenaran ialah rakan PAS walaupun yang membawa kebenaran itu ialah musuh.

Kebatilan adalah musuh PAS walaupun yang membawa itu kawan PAS. PAS meraikan mereka yang menentang bajet, terpulang kepada pendirian masing-masing.

– M’kini

.