Bajet 2017 bukan belanjawan PRU14, kata penganalisa

Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin menolak tanggapan sesetengah pihak bahawa bajet kali ini akan memberi kelebihan buat pengundi BN.

Justeru, Amir yang juga penganalisis ekonomi berkata, 2017 yang bakal dibentang pada Jumaat ini tidak akan dipengaruhi oleh PRU14.

“Sebaliknya, Bajet 2017 kali ini adalah peluang bagi kerajaan untuk membuktikan kepercayaan rakyat terhadap pemerintahan BN.

“Fokus kerajaan pada kali ini adalah dengan menumpukan pemasalahan peningkatan kos sara hidup yang sedang ditanggung rakyat.

“Selalunya orang akan kata bajet dipengaruhi oleh pilihan raya tetapi pada saya, ia tidak begitu.

“Ini adalah masa bagi kerajaan untuk memberi keyakian kepada rakyat bahawa masalah mereka sedang diambil kira atau diteliti oleh kerajaan,” katanya, memetik laporan oleh Sinar Harian Online.

Esok, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang juga memegang portfolio menteri kewangan akan membentangkan Bajet 2017 yang disifatkan banyak pihak sebagai penentu pemilihan tarikh pilihan raya umum akan datang.

Semalam, Pakatan Harapan melancarkan bajet alternatif yang mengenengahkan antaranya potongan peruntukan Jabatan Perdana Menteri (JPM), menangani rasuah, mengurangkan pergantungan kepada cukai barangan dan perkhidmatan serta peluang yang sama untuk semua rakyat Malaysia.

Bajet alternatif oleh PKR, DAP dan AMANAH itu antara lain mencadangkan pengurangan sebanyak RM10 bilion dalam peruntukan kepada JPM dari RM20.31 bilion pada 2016 kepada RM10.31 bilion.

Sementara itu, pakatan itu turut mencadangkan kewujudan Akta Peluang Pekerjaan Saksama yang akan memberi kuasa kepada suruhanjaya untuk menghukum sebarang perbuatan diskriminasi di tempat kerja berdasarkan bangsa, agama atau jantina.

Gaji minimum juga meningkat kepada RM1,500, satu langkah yang menelan belanja sehingga RM4.98 bilion.

Mengulas lanjut, Amir berkata, isu yang akan menjadi pemangkin utama pada pembentangan Bajet 2017 kali ini adalah kos sara hidup rakyat, pengangkutan awam dan ekonomi negara yang dikatakan berada di paras berjaga-jaga.

“Kerajaan perlu teliti kesemua aspek untuk memastikan rakyat terus mendapat manfaat dari Bajet kali ini.

“Jangan gusar dengan pemotongan bajet ke atas sesetengah kementerian. Itu perkara biasa dalam pengurusan kerajaan. Tetapi bagi saya, kalau perlu melalui pemotongan bajet dalam kementerian, maka semua kementerian di bawah kerajaan perlu dipotong perbelanjaan. Tidak akan ada kementerian yang dianaktirikan,” ujar beliau.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Ekonomi dan Perniagaan Universiti Malaysia Sarawak, Prof Dr Shazali Abu Mansor turut berpandangan sama apabila ditanya tentang pembentangan Bajet 2017 Jumaat ini.

Katanya, bajet kali ini hanya melibatkan bajet urus tadbir negara dan tidak akan dipacu oleh faktor PRU.

“Kalau ada duit lebihan bolehlah kata bajet untuk PRU. Tidak kali ini. Bajet kali ini hanyalah untuk kekalkan tadbir urus negara.

“Dengan keadaan ekonomi yang sangat ketat dan harga minyak rendah, memang agak sukar bagi kerajaan untuk merancang bagi PRU akan datang,” jelasnya.

MKINI

.