BAILOUT: DR. MAHATHIR PERLU BERSIKAP JUJUR – MOHD. RAZLAN

KUALA LUMPUR  – Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM), Tun Dr. Mahathir Mohamad digesa bersikap jujur dalam memperkatakan isu bailout dan bukan hanya menggunakan istilah itu semata-mata kerana dendam politik terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Mohd. Razlan Muhammad Rafii berkata, ini kerana Dr. Mahathir ketika menerajui kepemimpinan kerajaan selama 22 tahun, beliau tidak pernah sunyi dalam melakukan bailout yang sesetengahnya dikaitkan dengan dakwaan wujud­nya amalan kronisme.

Katanya, fakta tidak pernah membohongi sesiapa dan jika bekas Perdana Menteri itu ghairah mahu melaungkan istilah bailout bagi memburukkan kepemimpinan Najib khususnya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB), beliau perlu meneliti kembali sejarah pemerintahannya sebelum ini.

“Pada saya persoalan bailout ini hanya akan membongkarkan tindak-tanduk Dr. Mahathir ketika beliau memerintah, sesuatu yang sehingga kini tidak dilakukan oleh Najib sejak beliau mengambil alih kepemimpinan negara daripada bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi.

“Kita tidak lupa isu melibatkan Bumiputra Malaysia Finance (BMF), isu Forex, Perwaja Steel, Malaysia Airlines (MAS), skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) dan konsortium perkapalan milik Mirzan,” katanya ketika dihubungi Mingguan Malaysia di sini hari ini.

Dr. Mahathir sejak kebelaka­ngan ini semakin kerap menggunakan istilah bailout iaitu wang dipam ke dalam sesebuah organi­sasi yang sakit tanpa sebarang pulang ke atas wang itu bagi menyerang kepemimpinan Najib, tetapi ironinya perkara tersebutlah yang dilakukannya dahulu.

Dalam pada itu, Mohd. Raz­lan berkata, rakyat perlu membuka mata dan menilai sesuatu perkara berdasarkan fakta dan bukannya menelan bulat-bulat dakwaan Dr. Mahathir hanya kerana beliau pernah menjadi Perdana Menteri.

“Hakikatnya, kerajaan sedang berusaha keras untuk memastikan ekonomi negara berada dalam keadaan terbaik dan sebagai rakyat kita sepatutnya menyokong segala langkah positif yang dilaksanakan Perdana Menteri,” katanya.

– UTUSAN

.