BAHU ANWAR SELAMAT DIBEDAH

Datuk Seri Anwar Ibrahim berjaya menjalani pembedahan pada bahu kanannya hari ini.

Pembedahan itu dilakukan di Hospital Kuala Lumpur pagi tadi dan selesai kira-kira jam 1.30 petang.

Dalam satu kenyataan malam ini keluarga Anwar itu berkata ketua umum PKR terbabit kini sudah sedar sepenuhnya namun masih dalam kesakitan kesan pembedahan berkenaan.

Asalnya Anwar mengalami kecederaan apabila terlibat dalam kemalangan di Desa Sri Hartamas, Kuala Lumpur pada 2014.

Keadaan itu diredakan melalui rawatan secara riadah dan fisioterapi namun keadaan dalam penjara dikatakan membuat Anwar sukar meneruskan prosedur berkenaan.

Anwar menjalani hukuman penjara mulai Feb 2015.

Menurut keluarga bekas timbalan perdana menteri itu sejak Sept tahun lalu keadaan menjadi semakin buruk dan beliau selalu mengadu berdepan kesakitan.

Keadaan menjadi lebih buruk apabila kenderaan membawanya dari Hospital Kuala Lumpur kembali ke Penjara Sungai Buloh terbabit dalam kemalangan pada 22 Sept lalu.

– M’kini

.