BAHRI: ‘HANYA SATU KATA: TUNGGU’

Kepada ahli politik yang terlibat dalam rasuah, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memberi peringatan, masa tidak akan lama untuk mereka ditangkap.

Enggan mendedahkan butiran lanjut, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Dzulkifli Ahmad, berkata mereka mempunyai strategi tersendiri dan akan menentukan sendiri bilakah tindakan akan diambil.

“Kepada ahli politik yang korup, saya ada satu perkataan sahaja – tunggu.

“Apa yang pasti kita takkan lepaskan sesiapa yang terlibat, tak kira dia ahli politik, ahli perniagaan, atau pegawai GLC (syarikat berkaitan kerajaan) di Malaysia ini,” katanya dalam temubual bersama Astro Awani malam ini.

Dzulkifli dilantik sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM pada 1 Ogos 2016 bagi menggantikan Tan Sri Abu Kassim Mohamed yang bersara.

Pelantikan itu mengundang rasa sangsi sesetengah pihak kerana beliau sebelum itu berkhidmat di Pejabat Peguam Negara.

Abu Kassim (gambar) dan SPRM sebelum itu dikaitkan dengan pelbagai isu berkaitan siasatan 1MDB serta anak syarikatnya.

Dzulkifli pernah mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Agama Al-Irshad di Kepala Batas, Pulau Pinang pada 1981 hingga 1983 sebelum menyambung pendidikan menengahnya di Kolej Islam Klang antara 1984 hingga 1985.

Dzulkifli kemudian mengingatkan tentang surat terbuka – dan puitisnya – pada hari ke-100 menjadi ketua SPRM.

Dalam surat itu, katanya, beliau sudah memberi amaran kepada ahli politik yang terlibat dalam rasuah.

Janji sudah ditepati

Pada masa sama, beliau meminta orang ramai supaya berlaku adil kepadanya.

“Saya menerajui SPRM baru dalam tempoh tak lebih enam bulan, tetapi daripada tindakan yang diambil, (sudah ada) Tan Sri, Datuk Seri, Datuk daripada pelbagai golongan masyarakat.

“Saya sudah nyatatakan dalam warkah terbuka sempena 100 hari saya di SPRM.

“Salah satu peringakatan saya ialah kepada ahli politik yang korup.

“Tiada pada bila-bila masa saya kata, saya tidak akan ambil tindakan pada ahli politik,” katanya.

Dzulkifli juga ditanya mengenai janjinya untuk mengambil tindakan ke atas pesalah rasuah pada setiap minggu.

“Saya nyatakan setiap minggu SPRM akan ambil tinfakan fail tuduhan atau tangkapan. Setiap minggu sehingga 2017.

“Ini janji saya dan saya kotakan janji tersebut.

“Saya tak banyak bercakap, tapi tindakan. Saya buktikan setiap minggu SPRM berjaya tangkap atau tuduh pesalah rasuah (di mahkamah).

“Rasuah akan kita perangi habis-habisan sehingga negara kita bersih daripada rasuh dan salah guna kuasa,” katanya.

Sementara itu Dzulkifli meminta orang ramai mengambil kira kemampuan SPRM memerangi rasuah di negara ini.

Katanya, jumlah anggota SPRM hanya kira-kira 2,900 orang dan mereka perlu mengawasi kakitangan awam yang berjumlah 1.6 juta orang.

Daripada jumlah itu, katanya, kakitangan yang terlibat dalam penguatkuasaan hanya 900 orang, manajala selebihnya bertugas di bahagian pendidikan, pencegahan dan sebagainya.

Satu lagi kekangan SPRM, kata Dzulkifli, ialah peruntukan yang disalurkan kepada mereka.
Katanya, belanjawan SPRM kini adalah yang terendah sejak 2013 namun mengakui ia bukan alasan untuk mereka tidak bertindak ke atas pesalah rasuah.

“SPRM akan tetap mengambil tindakan walaupun berlaku kekangan dari sudut tenaga dan kewangan,” katanya.

– M’kini

.