BAHAS DENGAN DR MAHATHIR TAPI NAZRI LAWAN NAZRI

PADA 10 Mac, saya siarkan rencana bertajuk “Welcome to Padang Rengas” di mana saya ceritakan berkenaan lawatan saya ke pekan kecil yang jadi tempat persemayaman politik (Datuk Seri) Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan.

[MOHON guna nama sebenar atau nama samaran. Komen “Anonymous” tidak akan disiarkan.]

Masa itu belum timbul cerita bahas di antara Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nazri. Bahas itu dianjurkan oleh akhbar berkecuali Sinar Harian bertempat di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sultan Azlan Shah, Kuala Kangsar.

Kalau tak silap, asal-usul bahas itu bermula apabila Nazri cabar Dr Mahathir tanding lawan beliau dalam pilihan raya umum akan datang di Padang Rengas.

Dr Mahathir balas dengan ajak Nazri bertanding di Langkawi.

Nampaknya Nazri begitu yakin dia akan dipilih semula untuk pertahan kerusi Parlimen Padang Rengas sehingga berani ajak Dr Mahathir berlawan dengannya di situ.

Dia mula tanding pilihan raya di Chenderoh dalam PRU 1995 – zaman Dr Mahathir. Lepas menang PRU 1999 Dr Mahathir lantik dia jadi Menteri Pembangunan Usahawan. Jadi dia ni “budak” Dr Mahathir lah.

Orang kata, Nazri boleh buat sesuka hati. Dia lebih bebas daripada kebanyakan menteri.

Banyak orang bagi tahu saya, Perdana Menteri merangkap Presiden Umno dan Pengerusi BN, (Datuk Seri I Mappadulung Daeng Mattimung Karaeng Sandrobone Sultan Abdul Jalil) Mohd Najib Abdul Razak, “takut” kepada Nazri. Nazri pula tak berapa hormat kepada Najib.

Kalau kita ingat lagi, pernah timbul cakap-cakap yang hangat mengatakan selepas PRU 2013 Najib mungkin gugurkan Nazri daripada Kabinet kononnya “untuk lembutkan hati Dr Mahathir dan ucap terima kasih kerana bantu dalam PRU.”
Nazri Benci Tun
Ramai orang tahu Nazri benci dan kurang ajar terhadap Dr Mahathir. Tapi tak berapa ramai tahu sebabnya.

Ada orang kata, ini adalah kerana siasatan Badan Pencegah Rasuah (sekarang Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia) ke atas Nazri bersangkutan lesen teksi masa dia jadi Menteri Pembangunan Usahawan.

(Beberapa orang menteri disiasat dan tiga dikatakan ada kes dan fail-failnya “diserahkan” kepada (Tun) Abdullah Ahmad Badawi apabila dia ganti Dr Mahathir pada akhir tahun 2003. Hanya seorang didakwa iaitu (Tan Sri) Kasitah Gadam dan akhirnya dibuang kes).

Bukan saja tidak dikenakan apa-apa tindakan sebaliknya Abdullah bawa dia ke Jabatan Perdana Menteri dan bagi dia jaga hal ehwal Parlimen dan undang-undang. Dia jadi lebih berpengaruh.

Dia terus jaga hal ehwal undang-undang sehinggalah Najib tukar dia ke Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan lepas PRU 2013.

Ada pengulas media kata dia diturunkan pangkat kerana jaga Parlimen dan undang-undang lebih penting daripada jaga pelancongan dan kebudayaan.

Yang lain pula kata, tak sesuai dia jaga kebudayaan pasal dia “Anglophile” – orang yang agungkan budaya Inggeris. Maklumlah dia anak bekas Pesuruhjaya Tinggi ke United Kingdom dan dia pun belajar di sana.

Orang yang kenal lama dengan Najib dan Nazri sejak zaman Pemuda Umno kata, Najib “tak akan berani” singkir atau bagi arahan kepada Nazri sebab mereka “tahu rahsia satu sama lain” atau, macam kata seorang bekas menteri kanan era Allahyarham Tun Husssein dan Dr Mahathir mereka adalah “kawan seperdosaan”. Wallahuaklam.

Boleh jadi sebab itulah agaknya bila timbul khabar-khabar kata Najib akan gugurkan Nazri untuk ambil hati Dr Mahathir, budak-budak Nazri dipetik sebagai berkata “sebelum Najib jatuhkan chief, chief akan jatuhkan Najib.”

[“Chief” (tuan ketua) adalah gelaran yang budak-budak Nazri bagi kepadanya. Anak dia, Nedim Sujak Nazri Aziz, dibagi gelaran “Junior Chief” (tuan kecil).]
Adakah Najib Restui Bahas?
Nazri tak perlu restu Najib untuk berbahas dengan Dr Mahathir.

Kalau Najib ada pengaruh ke atas Nazri, dia sama ada tegah perbahasan itu atau dia akan bagi sokongan terbuka kepada Nazri.

Pendapat peribadi saya ialah Nazri bukan wakil Najib atau kerajaan dan parti. Nazri adalah wakil dirinya sendiri. Lebih tetap dia adalah wakil egonya yang cukup besar.

Dalam kapasiti itu, Nazri boleh jadi pembela Najib kalau dia mahu kerana Dr Mahathir pasti akan bangkitkan banyak hal berkenaan kepimpinan Najib.

Atau Nazri yang bermulut celupar – orang putih kata loose cannon – boleh juga bertukar jadi sokong bawa rebah kepada Najib.

Mustahil dia akan mati-matian pertahan Najib pasal dia tahu Najib adalah beban kepada Umno dan kerajaan. Dia kena fikir pandangan rakyat jelata sebab silap-silap Najib kekal di Pekan tapi dia kecundang di Padang Rengas.

Kalau dia nak jadi hero dan pertahan kerajaan pun tak ada gunanya sebab dia sendiri tahu banyak dasar dan rancangan kerajaan di bawah Najib menyusahkan rakyat jelata.

Jadi apa yang Nazri nak buat?

Saya rasa secara diam-diam dia berhadap bahas itu dibatalkan.

Tapi kalau diteruskan juga, dia akan pertahankan ego dia sahaja.

Jadi kita janganlah berharap banyak sangat daripada bahas itu sebab Nazri memang tak mampu jawab apa yang akan Dr Mahathir bangkitkan kecuali secara loyar buruk.

Dia tidak ada locus standi (kedudukan) dan tak cukup daulat untuk berbahas dengan Dr Mahathir.

Yang ada kedudukan adalah Najib tapi Najib tak berani berdepan dengan Dr Mahathir. Tengok sajalah tindak-tanduk beliau dan konco-konco beliau dalam Parlimen bila isu macam 1MDB, SRC International dan FGV dibangkitkan – sekat pembangkang tanya soalan atau letakkan semua perkara di bawah Akta Rahsia Rasmi (OSA).

Kalau bahas Parlimen pun Najib mengelak dan lari daripada forum Nothing2Hide, masakan dia berani berbahas terbuka dengan Dr Mahathir.

Akhir kalam, janganlah kita seronok sangat dengan bahas itu dan berjaga-jagalah bila menghadirinya.

Kita berdoa serta berharap untuk yang terbaik dan bersedia untuk yang tak kita jangka.

– http://kadirjasin.blogspot.my

.